RIYADH, 29 Nov – Bekas pengurus Chile, Antonio Pizzi telah dilantik sebagai Jurulatih yang ketiga untuk Arab Saudi dalam beberapa bulan, selepas Edgardo Bauza secara mengejut dipecat pada minggu lalu.
Pizzi akan membawa Arab Saudi ke Piala Dunia selepas meletak jawatan sebagai jurulatih Chile yang menyaksikan Chile gagal melayakkan diri ke Piala Dunia Russia yang akan berlangsung tahun depan.
Jurulatih dari Argentina itu mengambil tugas sebagai jurulatih Arab Saudi yang sebelum ini dikendalikan oleh Bert van Marwijk yang telah berjaya membawa Arab Saudi layak ke Piala Dunia.
Walau bagaimanapun, jurulatih dari Belanda itu meninggalkan pasukan Arab Saudi pada September lalu selepas berlaku pertikaian mengenai kontrak.
Jurulatih dari Belanda itu digantikan dengan Bauza, namun tempoh mengendalikan pasukan Arab Saudi itu tidak lama selepas mempamerkan aksi persahabatan yang tidak memberangsangkan.
Pizzi merupakan bekas penyerang Barcelona yang telah membawa Chile merangkul Copa America pada 2016 dan juga menjadi jurulatih Valencia antara tahun 2013-2014.
“Kami mahukan Pizzi kerana pencapaiannya dan cita-cita untuk masa depan,” menurut presiden Persatuan Bola Sepak Arab Saudi, Abdel bin Mohammed Ezzat. Jelasnya lagi, “kami akan sentiasa menyokongnya untuk persediaan Piala Dunia nanti.”
Pizzi akan mewakili Arab Saudi untuk undian Piala Dunia yang akan berlangsung di Moscow, Jumaat ini. – AFP