Monday, November 25, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    PJD bentuk sifat rohaniah

    Oleh Sim Y. H. –

    TEMBURONG, 31 OKT – Program Jati Diri (PJD) merupakan satu inisiatif yang amat penting kerana ia bukan saja memberi peluang kepada belia untuk meningkatkan kemahiran mereka tetapi juga membentuk sifat-sifat keperibadian yang sangat diperlukan seperti kedayatahanan, disiplin, kekuatan mental mahupun rohaniah serta kemampuan sebagai anggota pasukan mahupun ketua pasukan.

    Dalam hubungan itu, generasi muda perlu dilatih untuk menjadi pemimpin yang berintegriti, berwawasan, bertanggungjawab serta mampu menggerakkan perubahan positif dalam masyarakat, demi masyarakat.

    Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Chong Chin Yee menekankan perkara tersebut dalam ucapannya pada Majlis Penutup PJD bagi Kohort 7 yang berlangsung di Kem Latihan Program Khidmat Bakti Negara (PKBN), Batu Apoi, Temburong, hari ini.

    Beliau menyatakan cabaran-cabaran yang dilalui oleh para pelatih sepanjang program berkenaan akan membantu membina ketahanan mental mereka.

    “Ia bermaksud keupayaan seseorang untuk menghadapi cabaran, tekanan atau kesukaran mental, lalu bangkit semula daripada semua itu.

    Yang Berhormat Chong Chin Yee menyampaikan sijil kepada salah seorang ahli Kohort 7. – GAMBAR OLEH FADLEY FAISAL
    GAMBAR OLEH FADLEY FAISAL
    GAMBAR OLEH FADLEY FAISAL

    “Kesihatan mental yang baik, amat penting supaya seseorang itu dapat mengawal emosi dan menjalani kehidupan dengan baik.

    “Sebaliknya, individu yang mengalami kecelaruan mental tidak mampu berbuat demikian dan boleh saja gagal dalam menghadapi cabaran dan liku-liku kehidupan,” tekannya.

    Beliau juga menyarankan ibu bapa dan penjaga untuk terus memberikan sokongan dan dorongan padu sebagai motivasi serta pembakar semangat bagi para pelatih dan untuk terus berjuang demi mencapai kecemerlangan pada masa hadapan.

    Terdahulu Pengarah Pusat Pekerjaan Brunei (PPB), Hajah Noraini binti Haji Mohd Jamudin dalam ucapan alu-aluannya merakamkan harapan supaya PJD yang telah pun melatih seramai 772 orang sejak Kohort 1 hingga Kohort 6, bukan sahaja dapat merapatkan jurang kemahiran dan membentuk pemikiran para pelajar supaya mereka menjadi lebih boleh bekerja dan siaga industri, malahan juga dapat melatih mereka untuk menerapkan nilai-nilai murni yang berlandaskan falsafah Melayu Islam Beraja.

    Majlis berkenaan turut menyaksikan tayangan video perjalanan pelatih Kohort 7 dalam menerapkan komponen-komponen utama PJD termasuk kenegaraan dan jati diri, keusahawanan, disiplin dan latihan fizikal, keagamaan serta khidmat komuniti melalui sesi dialog dan lawatan industri, latihan-latihan kepimpinan dan insaniah, aktiviti-aktiviti keagamaan, fizikal dan juga kerja sukarela.

    PJD merupakan program usaha sama antara Pejabat Perancangan Tenaga Manusia (PPTM), PPB, Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) dan Bahagian Khidmat Bakti Negara (BKBN).

    Seramai 50 pelatih yang terdiri daripada pelajar iSkills Kohort 7 di IBTE daripada program iSkills bagi Industrial Skills Qualification (ISQ) dalam jurusan Marking and Fitting, Rigging dan Scaffolding termasuk 10 orang alumni PKBN telah menjalani latihan PJD selama 90 hari.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda