BANDAR SERI BEGAWAN, 28 MAC – Pantai Jerudong Specialist Centre (PJSC), hari ini, telah menganjurkan simposium maya mengenai Updates on Treatment Paradigms of Advanced Colorectal Cancer yang dihadiri oleh lebih 120 orang peserta (profesional perubatan dan pekerja penjagaan kesihatan) dari sektor-sektor perubatan di seluruh negara.
Simposium yang turut disokong oleh MediPharm Co itu telah diadakan di Dewan Indera Samudra The Empire Brunei di mana Pengarah Pusat Kanser Brunei (TBCC), Dato Seri Laila Jasa Dr Babu Sukumaran memulakan acara dengan ucapan alu-aluan dan taklimat pengenalan mengenai bebanan kanser kolorektal di Brunei.
Turut diketengahkan adalah kesediaan pelbagai kemudahan diagnostik dan rawatan di Brunei seperti pembedahan, kemoterapi, radioterapi, radionuclear imaging dan interventional radiology.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jerudong Park Medical Centre (JPMC), pelbagai topik telah dibentangkan oleh beberapa orang pakar perubatan dari Singapura dan Brunei dalam empat sesi simposium berkenaan.
Pembantu Profesor Adjung Cheryl Lau dari Colorectal Clinic Associates of Singapore memulakan sesi perkongsian dengan pembentangannya mengenai ‘Peranan Pembedahan dalam Kanser Kolorektal Metastatik’.
Dalam sesi kedua, Konsultan Onkologi Perubatan, Dr Wong Siew Wei dari Pusat Kanser Singapura berkongsi pandangannya secara maya mengenai ‘Rawatan Baharu dalam Kanser Kolorektal Lanjut’.
Kemudian, simposium diikuti dengan sesi ketiga dengan topik ‘Intervensi Radiologi dalam Metatesis Kolorektal’ oleh Pakar Radiologi Konsultan di Unit Radiologi, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), Dr Shankar.
Sesi terakhir pula mengetengahkan Pegawai Perubatan Kanan di TBCC, Dr Jawed Ahmed yang disertai oleh beberapa orang ahli panel bagi perbincangan.
