Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JUN – Negara Brunei Darussalam terus membangun dalam pelbagai bidang dan kerjasama antara Pusat Pakar Pantai Jerudong (PJSC) dengan Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) dapat menggabungkan kekuatan akademik IBTE dengan peluang serta pendidikan praktikal PJSC.
Dalam hubungan itu, sinergi daripada kerjasama kedua-dua belah pihak berkenaan diharap dapat terus berkembang dan dimajukan supaya ia dapat menyumbang ke arah mencapai strategi-strategi yang ditetapkan bagi Wawasan Brunei 2035.
Perkara itu dinyatakan oleh Pengarah Eksekutif PJSC, Dr Haji Mazrul Adimin bin Haji Awang Besar dalam kata alu-aluannya pada Majlis Penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) antara IBTE dengan PJSC yang berlangsung di Dewan Kuliah, PJSC, Jerudong, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat dan menyaksikan penandatanganan MoU berkenaan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II (Kedua), Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah selaku pengerusi Lembaga Pengarah PJSC.
Turut hadir dan menyaksikan penandatanganan MOU berkenaan ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh yang juga pengerusi Lembaga Gabenor IBTE.

Juga hadir ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Abdul Hamid @ Haji Sabli bin Haji Arshad, Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) dan ahli Lembaga Gabenor, Dr Haji Azman bin Ahmad, Timbalan Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Dr Chin Wei Keh, Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Awang Maswadi bin Haji Mohsin yang juga ahli Lembaga Pengarah PJSC serta pegawai-pegawai kanan PJSC dan IBTE.
Pada majlis berkenaan, menandatangani MoU bagi pihak IBTE ialah Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif IBTE, Hajah Mariah binti Haji Abdul Manaf dan bagi pihak PJSC ialah Dr Haji Mazrul Adimin dengan disaksikan bersama oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew dan Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah.
Di bawah MOU itu, kedua-dua belah pihak menyatakan hasrat untuk menubuhkan, mempromosi dan membangunkan kerjasama dalam skop mandat dan sfera kompetensi dalam bidang pendidikan serta program latihan berkepentingan bersama.
MoU itu juga menandakan komitmen kuat kedua-dua buah agensi dalam menyediakan tenaga kerja yang berkualiti dan kompeten bagi pembangunan negara dengan menyediakan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan kepada pelajar serta pelatih-pelatih.
Kerjasama antara IBTE dan PJSC telah bermula pada April 2016 dan pada masa ini, terdapat tiga program latihan yang sedang dijalankan iaitu Diploma dalam Pembantu Teater Pembedahan, Diploma dalam Kejururawatan Paliatif dan NTec dalam Penjagaan (Penjagaan Kanser). Tempoh bagi program-program latihan berkenaan adalah selaras dengan panduan program di mana ia boleh berjalan bagi tempoh selama 12 bulan hingga 24 bulan.