Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    PKBN semarakkan Malam Munajat

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 DIS – Seramai 470 orang pelatih Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) Pengambilan ke-12 bagi tahun 2023 bersama 150 orang terdiri daripada pegawai, jurulatih, dan tenaga kerja PKBN semalam menyertai Acara Munajat ke-116 dari Surau Kem Latihan PKBN, Batu Apoi, Temburong, yang dianjurkan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dengan dukungan khas PKBN Pengambilan ke-12 bagi tahun 2023.

    Hadir pada program Malam Munajat secara dalam talian itu ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

    Malam Munajat kali ke-116 juga dihadiri oleh tetamu khas iaitu Pemangku Pengarah Khidmat Bakti Negara, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Mejar (B) Haji Mohammad bin Dollah, yang memimpin bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dari Surau Kem Latihan PKBN, Batu Apoi, Temburong.

    Acara turut disemarakkan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Al-Fatihah, diteruskan dengan bacaan Surah Yasin beramai-ramai dipimpin oleh 13869 Pelatih Awang Mohd Danial Hazwan bin Haji Mohd Azmi, Platun 3 bersama para pegawai, jurulatih, tenaga kerja serta pelatih PKBN Pengambilan ke-12 dari Surau Kem Latihan PKBN, Batu Apoi, Temburong.

    Majlis diikuti dengan Doa Munajat yang dibacakan oleh 14293 Pelatih Awang Mohd Zulhelmi Hashim bin Jainudin, Platun 1.

    Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin hadir semasa Acara Munajat kali ke-116. – GAMBAR SERAHAN KHEU

    Sementara tazkirah mengenai Kelebihan mengenai Menuntut Ilmu dan Beramal Dengannya, Kelebihan Mengamalkan Solat Fardu serta Sunat dan Kelebihan Mengamalkan Zikir dalam Kehidupan disampaikan oleh Pengarah Pusat Kajian Fiqh Al-Usrah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Dr Haji Sham bin Haji Amin, dari Surau Kem Latihan PKBN, Batu Apoi, Temburong.

    Setelah itu, bacaan Selawat Tafrijiyyah dipimpin oleh 14045 Awang Mohd Azwan bin Ahmad, Platun 9 bersama para pegawai, jurulatih, tenaga kerja serta pelatih PKBN Pengambilan ke-12 dari Surau Kem Latihan PKBN, Batu Apoi, Temburong.

    Bagi memberkati acara Munajat, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar, Temburong, Haji Shafrillah bin Haji Ahmad, dari Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar, Temburong.

    Turut menyemarakkan acara ialah ahli jawatankuasa takmir dan jemaah daripada 73 buah masjid termasuk surau dan balai ibadat di seluruh negara. Juga meramai-ramaikan, warga kerja di bawah KHEU dan KKBS secara maya.

    Orang ramai dialu-alukan menyertai acara Malam Munajat pada setiap hari Sabtu (malam Ahad) secara maya melalui pautan https://tiny.cc/munajatkheu atau https://www.facebook.com/pdi.kheu.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda