PKPB di 4 negeri tamat hari ini

KUALA LUMPUR, 20 NOV – Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri Kedah, Melaka, Johor dan Terengganu ditamatkan esok, ekoran penilaian risiko jangkitan COVID-19 yang berkurangan, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata sebagaimana yang diumumkan sebelum ini mengenai penamatan PKPB di kebanyakan negeri, keputusan dibuat atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berdasarkan kepada trend penurunan kes positif COVID-19 serta keadaan yang terkawal di negeri berkenaan.

Bagi Kedah, beliau berkata PKPB ditamatkan kecuali bagi daerah Kulim yang masih merekodkan 23 kes aktif COVID-19, manakala bagi seluruh Kedah pula sejumlah 85 kes positif direkodkan sehingga 18 November.

Di Melaka, beliau berkata sejak 5 November sebanyak 61 kes positif COVID-19 direkodkan di seluruh negeri, manakala pada 18 November terdapat penurunan kes positif kepada 48 kes dan situasi penularan jangkitan didapati terkawal. Ismail Sabri berkata di Johor pula kes positif COVID-19 yang direkodkan sehingga 5 November adalah 82 kes serta mencatatkan penurunan pada 16 November membolehkan PKPB ditamatkan, kecuali di daerah Kota Tinggi dan Mersing dengan masing-masing merekodkan 36 dan lapan kes positif. – Bernama