PKS boleh guna Industri 4.0 – MDEC

KUALA LUMPUR, 10 SEPT – Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tidak seharusnya melihat pelaburan besar sebagai halangan bagi mereka untuk menerima pakai Industri 4.0 kerana mereka mempunyai pilihan untuk bermula secara kecil-kecilan.

Pengarah Ekonomi Data Malaysia Digital Economy Corporation Sdn Bhd (MDEC) Ir Dr Karl Ng Kah Hou berkata PKS boleh mengambil pendekatan mengutamakan segmen yang mempunyai potensi untuk ditransformasikan terlebih dahulu, bagi membantu menjana produktiviti dan kecekapan dengan lebih baik lagi.

“Bagaimanapun, syarikat-syarikat perlu faham mereka perlu mempunyai data terlebih dahulu, bukan data raya tetapi data berkualiti, yang mungkin dalam bentuk dan kuantiti yang berbeza, kerana tanpanya, kita tidak boleh memproses sebarang maklumat, sama ada teks, visual, suara, angka dan sebagainya.

“Ini juga penting kerana alasan bagi menggunakan data adalah untuk mendapatkan maklumat tertentu, yang kemudiannya diproses untuk membuat unjuran bernilai dan mendapatkan keputusan seperti yang dikehendaki,” kata Ng kepada Bernama.

Industri 4.0 adalah konsep di mana mesin diperkuatkan dengan kesalinghubungan dan sensor tanpa wayar, yang dihubungkan kepada satu sistem yang boleh menggambarkan keseluruhan barisan pengeluaran dan membuat keputusan sendiri.

Ng berkata syarikat-syarikat perlu mengetahui apa yang mereka mahu capai dan mesti bersedia untuk melabur masa, wang dan kepakaran bagi mengumpulkan data berkualiti, membina sistem prasarana dan mendapatkan instrumen yang sesuai bagi membolehkan data diproses. – Bernama