Saturday, July 12, 2025
30.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    PKT FT benam Gergasi FC

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 JULAI – Kemantapan serangan pasukan PKT FT menjadi senjata kejayaan skuad itu menewaskan pasukan Gergasi FC dengan jaringan 6-3 pada Kejohanan Bola Sepak Jemputan Piala Lela Cheteria di Padang dan Balapan, Berakas, hari ini.

    “Pemain-pemain bijak manfaatkan peluang-peluang untuk membolosi gawang lawan. Kita juga bernasib baik kerana beberapa ancaman daripada penyerang pasukan Gergasi FC gagal disudahkan dengan berkesan. Kemenangan ini setentunya hadiah menarik kepada semua pemain yang berusaha gigih memastikan kemenangan pasukan untuk memperbaiki kedudukan liga”, jelas ketua jurulatih pasukan PKT FT, Sapol Rizal Samail.

    Beliau mengakui pertemuan dengan pasukan Gergasi memberi ujian yang mencabar kepada PKT FT, namun beliau melahirkan rasa lega atas kegigihan semua pemain sekali gus mengekalkan rentak kemenangan.

    Sementara itu, pengurus pasukan Gergasi FC, Ermaheidi Jailani, mengakui beberapa kesilapan pemain-pemain sehingga gagal menfaatkan deretan peluang yang terhidang di depan pintu gawang lawan yang mengakibatkan kehilangan mata.

    “Namun, saya yakin pemain-pemain akan kembali bangkit untuk memperbaiki kesilapan bagi perlawanan seterusnya”, jelasnya.

    Aksi kedua-dua pasukan dalam perlawanan tersebut. – GAMBAR SERAHAN GERGASI FC

    Pertemuan babak pertama nampak seimbang sekalipun Gergasi FC lebih awal berjaya menembusi gawang PKT FT menerusi larian solo Mousssa Mohd Elsayed di minit ke-17 tetapi pasukan lawan bijak menyamakan kedudukan 1-1 di minit ke-37.

    Pasukan PKT FT berjaya menyuntik sengatan berbisa ke kubu lawan apabila Bayu Eka berjaya merubah kedudukan menjadi 2-1 menerusi sentuhan di minit ke-46 dan Faiz Farhan sekali lagi cemerlang dengan kuisan menarik di minit ke-52.

    Seminit selepas itu, Bayu Eka membuat penyokong PKT FT berpesta dengan jaringan menarik untuk menjarakkan kedudukan.

    Jaringan Abiodun Fatai di minit ke-57 tidak cukup menyuntik semangat rakan, sebaliknya Fakhrul Radzi pula kembali melesukan pasukan Gergasi apabila pemain lincah itu berjaya melepaskan rembatan kencang di minit ke-59.

    PKT FT melengkapkan kemenangan menerusi jaringan Azhan Shah di minit akhir perlawanan sekalipun Gergasi menambah jaringan di minit kecederaan menerusi Abiodun Fatai untuk kedudukan muktamad 6-3.

    Sementara itu, pasukan Shada FT pula berjaya menumpaskan pasukan Supastrikas dengan jaringan 3-1 di Kompleks Sukan Arena, Seria, pagi tadi.

    “Sekalipun kekurangan pemain, Shafa FT berjaya memperolehi mata penuh yang sangat penting bagi menyuntik semangat dan perkembangan pasukan ini”, jelas ketua jurulatih Shada FT, Hanifah Abdullah.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda