Saturday, July 26, 2025
34.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    PKT FT kejutkan Kasuka FC dengan kemenangan bergaya

    Oleh Sim Y. H.

    TUTONG, 25 JULAI – Pasukan PKT FT mencipta kejutan apabila menewaskan pasukan pilihan, Kasuka FC, dengan kemenangan 4-1 dalam satu perlawanan menarik Kejohanan Bola Sepak Jemputan Piala Lela Cheteria yang berlangsung di Kompleks Sukan Tutong, hari ini.

    Walaupun ketinggalan satu gol pada babak pertama, skuad muda PKT FT tidak mudah mengalah. Sebaliknya, mereka bangkit dengan penuh semangat untuk menjaringkan empat gol pada separuh masa kedua sekali gus melumpuhkan rentak permainan Kasuka FC.

    “Kami sudah menjangkakan bahawa pertemuan dengan Kasuka FC merupakan satu ujian besar buat pasukan PKT FT. Saya gembira kerana kesungguhan semua pemain berjaya menampilkan aksi yang menarik dan akhirnya memberi kemenangan kepada pasukan kami,” ujar Ketua Jurulatih PKT FT, Sapolirizal Samail.

    Menurutnya lagi, Kasuka FC juga merupakan sebuah pasukan yang mempunyai kelebihan tersendiri, namun percubaan serangan mereka kerap digagalkan oleh barisan pertahanan PKT FT yang berdisiplin dan mantap.

    “Perjalanan masih jauh. Kemenangan ini menjadi permulaan yang baik untuk para pemain terus berusaha gigih dalam kejohanan ini. Walaupun kita berjaya mencatat keputusan cemerlang, pemain-pemain tidak seharusnya terlalu ghairah. Ini adalah hasil kegigihan mereka serta sokongan padu daripada para penyokong,” katanya lagi.

    Kasuka FC terlebih dahulu membuka jaringan seawal minit ke-12 menerusi Muhammad Faaiz Zulkeflee. Namun, PKT FT kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-70 melalui Atupele Naimu Imurani Shareed.

    Kemasukan Atupele nyata membawa perubahan besar kepada rentak permainan PKT FT. Hasilnya, Radzi Haji Haslin berjaya meletakkan pasukannya di hadapan dengan gol kedua pada minit ke-78 selepas menerima hantaran lintang dan memperdaya penjaga gol Kasuka FC.

    Sorakan penyokong PKT FT semakin bergema apabila Radzi sekali lagi mencatat nama sebagai penjaring gol ketiga pada minit ke-81, selepas berjaya meloloskan diri daripada kawalan pertahanan Kasuka sebelum melepaskan rembatan tepat ke gawang.

    Kemenangan bergaya PKT FT dilengkapkan oleh Atupele Naimu yang menjaringkan gol keempat pada masa kecederaan, menjadikan keputusan akhir 4-1 memihak kepada PKT FT.

    Aksi menarik PKT FT menentang Kasuka FC, hari ini. – GAMBAR SERAHAN LIGA JEMPUTAN MEREBUT PIALA LELA CHETERIA
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda