Oleh Nurdiyanah R. –
TUTONG, 26 NOV – Dalam sama-sama memohon keberkatan nikmat usia anugerah Ilahi dalam kalangan ahli, Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) Daerah Tutong telah mengadakan Majlis Membaca Doa Kesyukuran Ulang Tahun Kelahiran Ahli-ahli PKWE Bulan November, baru-baru ini.
Majlis yang diadakan di Dewan Serba guna PKWE Daerah Tutong itu telah menyaksikan tujuh orang ahli dirai penuh kesederhanaan sekali gus menyerlahkan lagi ikatan jalinan kekeluargaan dan persahabatan dalam kalangan warga PKWE tersebut.
Pengurus PKWE Daerah Tutong, Haji Hamaffi bin Mohd Yassin semasa mengongsikan pandangan secara dalam talian kepada Media Permata, berkata majlis sedemikian telah pun bermula sejak 2018 dengan harapan sama-sama berkumpul mengharap rahmat Allah dalam meniti kehidupan di dunia dan akhirat.
“Sambil bersilaturahim, tema-tema majlis setiap tahun juga menjadi salah satu tarikan di mana pada tahun ini makanan kering dan minuman menjadi tema sebagai penyeri suasana majlis ini,” ujarnya.


