Oleh Normazlina M.D
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Okt – Lebih 70 orang ahli Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) Daerah Brunei dan Muara juga telah sama-sama meriahkan Istiadat Perarakan sempena Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta, semalam.
Rombongan yang berkumpul di kawasan Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah berkenaan telah diketuai oleh Haji Hussin bin Haji Mohd Yusof.
Ahli-ahli PKWE berkenaan telah melahirkan perasaan amat gembira dan teruja kerana ia merupakan acara yang ditunggu-tunggu oleh segenap lapisan masyarakat warga Brunei termasuklah warga emas.
Mereka sangat bersyukur kerana Allah S.W.T memanjangkan usia Baginda Sultan dan atas pemerintahannya, Negara Brunei Darussalam telah mencapai kegemilangan.
Berkumpul di Bangunan PKWE seawal jam 5:30 pagi memang tidak sia-sia untuk meraikan bersama orang ramai di Bandar Seri Begawan dan sentiasa bersemangat menyambut raja yang tercinta.
Rombongan PKWE juga tidak melepaskan peluang untuk mengambil kesempatan menyembahkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Sambutan Jubli Emas Baginda Sultan Menaiki Takhta.
Mereka berharap semoga Negara Brunei Darussalam sentiasa dalam keadaan aman damai di bawah pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan mendoakan semoga Allah melanjutkan usia Baginda berserta kerabat diraja dan kekal karar memerintah Negara Brunei Darussalam.