PKWE Tutong amalkan baca Al-Quran

Oleh Nurdiyanah R.

TUTONG, 9 NOV – Dengan matlamat untuk mengamalkan pembacaan ayat-ayat suci Al-Quran dalam kehidupan sehari-hari, Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) Daerah Tutong telah meneruskan program Tilawah Wal Istima’, baru-baru ini.

Hadir selaku tetamu jemputan semasa sesi kelima program berkebajikan itu ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Acara dimulai dengan laungan selawat beramai-ramai sebelum diikuti dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan diteruskan dengan ayat daripada Surah Al-Baqarah bagi menyambung bacaan pada minggu lalu.

Kemudian, acara diakhiri dengan bacaan doa sesudah membaca Al-Quran yang dipimpin oleh Pengurus PKWE Daerah Tutong, Haji Hamaffi bin Mohd Yassin.

Program itu bukan saja diadakan untuk ahli-ahli PKWE Daerah Tutong malah juga mendapat sambutan daripada kalangan warga emas yang beragama Islam di negara ini dengan surah-surah pilihan setiap minggu.

Antara lain tujuan program itu diadakan adalah untuk menyucikan hati dengan ayat-ayat Al-Quran dalam meniti usia yang hanya pinjaman sementara ini.

Di samping itu, ia juga dihasratkan untuk mewujudkan jalinan persaudaraan sesama Islam dalam kalangan peserta yang terlibat sekali gus membuka minda dan pengetahuan terkini mengenai cara-cara penggunaan teknologi dalam talian.

Selain itu, program tersebut juga dilaksanakan sebagai salah satu usaha untuk memohon perlindungan ke hadrat Allah SWT agar bumi Negara Brunei Darussalam dihindari daripada pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia ini, di samping memohon dengan kerendahan hati agar masyarakat di negara ini sentiasa diberikan ketabahan dan kesabaran jiwa serta terhindar dari segala musibah, sekali gus sentiasa mendoakan kerahmatan bagi insan-insan yang telah kembali ke rahmatullah.

Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan turut menyertai program kerohanian dalam talian tersebut. – Gambar serahan PKWE Daerah Tutong.