Oleh Normazlina M.D
TUTONG, 10 Julai – Bagi memberikan peluang kepada warga emas untuk terus menjalani kehidupan yang aktif melalui pelbagai program dan kegiatan yang dianjurkan oleh warga emas sendiri, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) telah menubuhkan Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) di Daerah Tutong.
Perasmian pusat berkenaan telah diadakan petang tadi dan disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.
PKWE Tutong yang terletak bersebelahan dengan Kompleks Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong merupakan pusat kedua selepas PKWE pertama ditubuhkan di Kampung Lambak Kanan, Daerah Brunei dan Muara.
Pusat berkenaan ditubuhkan khas untuk warga emas setempat yang tinggal dalam kawasan tadahan zon yang berkenaan dan juga warga emas dari seluruh daerah itu.
Pembinaan bangunan PKWE tersebut adalah sumbangan seorang dermawan, Pengarah Urusan Syarikat Goh Hock Kee Motors Sdn Bhd, Yang Dimuliakan Pehin Kapitan Lela Diraja Dato Paduka Goh King Chin.


Ketika ditemu bual, Pengurus PKWE Cawangan Tutong, Haji Metamit bin Haji Matzin, 71, menjelaskan bahawa dengan adanya pusat tersebut, ia akan memberi peluang kepada warga emas untuk terus menjalani kehidupan yang aktif melalui pelbagai program dan kegiatan yang dianjurkan oleh warga emas sendiri.
Turut hadir di majlis perasmian tersebut ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, setiausaha-setiausaha tetap di KKBS, pegawai Daerah Tutong dan pegawai-pegawai kanan kerajaan, para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung serta warga emas dari Daerah Tutong.
Di majlis tersebut, Yang Berhormat Pehin juga telah menyaksikan pameran yang mengetengahkan pelbagai aktiviti yang dijalankan oleh warga emas di Daerah Tutong seperti dikir, kraf tangan, pembuatan sirap aloe vera, membuat makanan tradisi dan juga tausyeh.
Warga emas di Daerah Tutong juga berpeluang untuk bertukar-tukar fikiran dengan ahli-ahli PKWE Lambak Kanan yang diundang untuk mengongsi pengalaman kejayaan mereka dalam menyelenggarakan program-program PKWE Lambak Kanan.
Dalam majlis yang sama, Yang Berhormat Pehin berkesempatan untuk beramah mesra bersama warga emas yang hadir, dalam suasana kemeriahan menyambut Hari Raya di bulan Syawal, yang masih dapat dirasakan.
Antara kegiatan yang dijalankan mengikut jadual nanti adalah latihan fizikal, membuat kraf tangan, berzikir, beriadah dan seumpamanya. Warga emas juga dapat mempelajari atau mengikuti bengkel-bengkel yang berkaitan dengan produk-produk kampung yang menjurus kepada semangat bantu diri seperti keusahawanan.
Dengan usaha sedemikian, ia diharap akan dapat mengurangkan sindrom kesunyian.
Menurut Haji Metamit, warga emas di Daerah Tutong yang berumur 70 tahun ke atas dialu-alukan untuk ikut serta dan mendaftar ke pusat berkenaan bagi sama-sama menyertai aktiviti dan kegiatan yang disediakan. Pusat berkenaan akan beroperasi semasa waktu bertugas setiap Isnin hingga Khamis dan Sabtu, bermula jam 8 pagi hingga 4.30 petang kecuali Jumaat dan Ahad.
Dengan tertubuhnya PKWE di Daerah Tutong, ia juga diharapkan akan dapat menambahkan lagi mekanisme bagi membolehkan warga emas menyambung khidmat bakti mereka kepada negara.
Tambahan lagi pusat tersebut diuruskan sepenuhnya oleh warga emas sendiri yang akan memperlihatkan kepada semua bahawa umur bukanlah penghalang bagi seseorang itu untuk terus aktif dalam menyumbang kepada pembangunan negara.