Friday, October 18, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Plak nama krayon warnai meja kerja

    Oleh Amri HTZ

    Ruangan kerja sama ada di pejabat atau rumah amat penting dihiasi agar suasana bekerja lebih tenang dan nyaman.

    Pelbagai pendekatan boleh diambil untuk menghiasinya sama ada menempatkan rak mini bagi memastikan dokumen-dokumen tampak lebih teratur mahupun barangan perhiasan lainnya.

    Sebagai tambahan, plak nama sendiri juga boleh memainkan peranan sebagai penyeri serta memudahkan kawan sekerja untuk menempatkan dokumen berkaitan kerja.

    Barangan yang perlu ada

    Sebelum memulakan projek pembuatan, terlebih dahulu sediakan barangan yang diperlukan untuk merekanya seperti papan, krayon, heat gun, mesin scroll atau palm router, mesin pencetak, pensel, pita pengukur, mesin pemotong kayu, kertas pasir, mesin gerudi, gam kayu, gam kertas (cecair), alat pengepit kayu dan ketam kayu serta pahat kayu atau alat ukir.

    Proses rekaan yang cukup mudah

    Papan yang telah disediakan terlebih dahulu akan dipotongkan dengan ukuran diperlukan iaitu 16 inci x 5 inci x 2 inci untuk dua keping. Menggunakan mesin pemotong kayu, tetapkan rip fence dengan jarak diperlukan dan sorong perlahan material bagi mengelakkan berlakunya kickback.

    Potongan krayon yang telah mencair bersatu dengan warna lain setelah dipanaskan menggunakan heat gun. – Agensi

    Abjad yang dipotongkan pada sekeping papan kemudiannya dilapisi dengan papan berukuran sama pada bahagian belakangnya. – Agensi
    Salah satu cara memotong abjad menggunakan mesin scroll. – Agensi
    Krayon-krayon terpakai pelbagai ukuran penting untuk menjayakan rekaan. – Agensi

    Langkah memotongkan papan tersedia juga boleh dilakukan dengan menggunakan gergaji kayu secara manual. Ini memerlukan awda terlebih dahulu melakar garisan menggunakan pembaris untuk kawasan potongan. Garisan yang dilakar merupakan panduan untuk langkah pemotongan agar berada tepat di kawasannya. Permukaan kasar potongan kemudiannya akan dihalusi menggunakan ketam kayu. Dalam memudahkan langkah meratakannya, kepit papan menggunakan bench vise dengan tekanan sederhana agar tidak meninggalkan kesan (vise jaws) pada permukaan papan.

    Setelah memotong papan, permukaan depan dan belakangnya pula akan diratakan menggunakan ketam kayu. Jika permukaannya sudah rata, awda hanya perlu menghaluskannya menggunakan kertas pasir berukuran 180 grit diikuti dengan 400 grit.

    Buang sedikit demi sedikit permukaan kayu ketika mengetamnya dengan menetapkan kedalaman kedudukan bilah mesin 0.2 milimeter setiap kali memasukkannya ke dalam ruangan pemotongan.

    Langkah seterusnya ialah melekatkan kertas bercetak dengan nama pada papan tersebut.

    Menggunakan perisian bersesuaian seperti Microsoft Word, awda boleh mereka pelbagai bentuk dan saiz abjad yang diperlukan. Setelah mencetaknya, sapukan gam kertas di belakangnya kemudian lekat pada permukaan salah sekeping papan dan biarkan kering.

    Gam yang telah mengering akan membolehkan awda melaksanakan proses pemotongan abjad menggunakan mesin scroll. Memandangkan bilah mesin skrol memerlukan ruangan untuk dimasukkan sebelum memotongkan tanpa menjejaskan permukaan luaran papan, ini memestikan awda untuk menebuk pada ruangan dalam abjad menggunakan mata gerudi berukuran lebih besar daripada bilah gergaji.

    Ini diikuti dengan memasukkan bilah menerusi lubang ditebuk dan ketatkan skru pemegang pada mesin.

    Sesuaikan kelajuan mesin ketika memotongkan abjad-abjad tersebut di mana ia tertakluk kepada jenis bilah digunakan. Bagi bilah mesin yang besar dan tebal, kelajuan sederhana sudah memadai manakala bilah kecil memerlukan awda untuk memperlahankan kelajuan agar ia tidak mudah patah atau tumpul.

    Bahagian sudut menajam pada abjad dipotong memerlukan awda untuk memutarkan perlahan material dipotong bagi mengelakkan bilah terpulas sekali gus patah. Selain dengan cara memutarkan material ketika memotongkannya mengikut garisan abjad, awda boleh mereka ruangan pada bahagian dalamnya bagi membolehkan bilah bergerak dengan mudah dan tidak tersepit.

    Selesai memotongkan abjad-abjad tersebut, bersihkan permukaan potongan menggunakan kertas pasir sebelum melekatkan papan pada bahagian belakangnya (papan yang dipotongkan berukuran sama sebelumnya). Sapukan keseluruhan permukaan cantuman menggunakan gam kayu kemudian cantum dan kepit menggunakan alat pengepit kayu.

    Biarkan gam mengering selama beberapa jam sebelum beralih ke langkah seterusnya.

    Selain menggunakan mesin scroll untuk memotongkan abjad, awda juga boleh menggunakan mesin router namun kali ini tidak mewajibkan awda menggunakan dua keping papan seperti langkah sebelumnya. Langkah merekanya cukup dengan menggunakan router memandangkan mata mesin boleh ditetapkan kedalamannya. Jika awda inginkan abjad dengan permukaan yang lebih dalam, gunakan papan yang lebih tebal bagi merekanya.

    Menggunakan straight bit, tetapkan kedalaman mata lebih kurang 5 milimeter dan pegang kuat mesin ketika membuangkan ruangan dalam abjad. Jika awda inginkan ruangan yang lebih dalam, tetapan kedalaman mata mesin sedikit demi sedikit bagi memudahkan mesin dikawal. Permukaan yang tidak rata pada langkah ini boleh diperbetulkan menggunakan pahat kayu.

    Manakala bagi langkah mewarnakan ruangan dalam abjad, memerlukan awda untuk memasukkan krayon tersedia. Bagi mendapatkan cantuman berwarna warni, potong atau patahkan kryon dan campur serta susun ke dalam ruangan abjad.

    Setelah memenuhinya, awda perlu mencairkan krayon menggunakan haba menerusi alat heat gun. Pastikan bahagian hujung alat tidak terlalu dekat dengan kayu memandangkan ia boleh menukar warna permukaan kayu atau membakarnya.

    Siap mencairkan krayon berkenaan, biarkan ia sejuk selama setengah jam sebelum mengendalikannya. Bahagian luaran yang tidak sempurna mungkin disebabkan lelehan krayon yang cair kini boleh dibersihkan menggunakan pahat kayu. Selain itu bagi awda yang inginkan sudut kayu memiliki bentuk berhias, menggunakan mesin router dengan Roman Ogee bit atau sebagainya mampu melakukannya. Namun pastikan awda hanya membentuk bahagian atas dan sisi kiri dan kanan sahaja memandangkan bahagian bawah penting untuk menstabilkan plak nama ketika diletakkan pada permukaan meja.

    Untuk langkah terakhir, mewarnakan permukaan kayu menggunakan wood finish pilihan akan memberikan hasil akhir terbaik pada rekaan. Pilih pelindung permukaan yang mudah untuk disapukan dengan bahan asas air mahupun minyak. Rekaan yang telah siap itu sedia untuk menghiasi ruangan meja kerja sekali gus penting sebagai pengenalan pemiliknya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda