Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan Suruhanjaya Tinggi Australia di Negara Brunei Darussalam
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 DIS – Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi bin Haji Gafar bersama-sama Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Tiffany McDonald telah merasmikan plak bagi memperingati kolaborasi inisiatif penanaman pokok di Taman Riadah, Jalan Pusat Persidangan, hari ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tinggi Australia di Negara Brunei Darussalam, di sini, hari ini, plak itu adalah untuk memperingati usaha bersama ahli-ahli komuniti warga Australia, kakitangan daripada Suruhanjaya Tinggi Australia, Jabatan Perhutanan dan Sekretariat Perubahan Iklim Brunei (BCCS) untuk menanam sebanyak 45 pokok yellow tabebuia pada awal tahun ini.
Di bawah Majlis Kebangsaan bagi Perubahan Iklim (BNCCC), Brunei menyasarkan untuk meningkatkan carbon sink negara dengan menanam sebanyak 500,000 pokok yang baharu menjelang 2035 di mana usaha Suruhanjaya Tinggi Australia itu, diharap dapat menyumbang ke arah Brunei mencapai sasaran berkenaan.
Kenyataan menyatakan bahawa turut hadir pada majlis berkenaan ialah Ketua BCCS, Dina Yahya.
Pada majlis berkenaan, PYT Tiffany McDonald berkata bahawa plak itu merupakan sebagai cenderamata yang berkekalan untuk mengiktiraf sumbangan kerajaan Australia kepada usaha Brunei bagi memulihara alam sekitar dan menangani isu perubahan iklim.

“Tindakan iklim Australia adalah termasuk kolaborasi dengan rakan-rakan antarabangsa seperti Brunei dan menyokong jiran-jiran di Indo-Pasifik dalam menguruskan alam sekitar menerusi pelbagai inisiatif,” ulasnya lagi.
Beliau menyatakan harapan untuk menyaksikan bunga kuning daripada pokok tabebuia mekar yang ditanam di taman riadah berkenaan, sama seperti hubungan dua hala kedua-dua buah negara yang terus mekar.
Beliau menambah bahawa Australia merupakan rakan dialog tertua ASEAN dan baru-baru ini telah menjadi Rakan Strategik Komprehensif pertama ASEAN di mana ia memberikan peluang kepada Australia untuk terus mengukuhkan lagi hubungannya dengan rantau berkenaan termasuk Brunei serta bekerjasama dalam bidang-bidang berkepentingan bersama seperti perubahan iklim.
Ia merupakan salah satu aktiviti terakhir yang dilaksanakan oleh PYT Tiffany McDonald di Brunei dan beliau menyatakan harapan untuk kembali ke Brunei satu hari kelak bagi menyaksikan seperti hubungan dua hala kedua-dua buah negara, pokok berkenaan akan terus tumbuh.