COLOMBO, 28 MEI – Beberapa tan palet plastik yang hangus daripada kapal kontena yang terbakar di Sri Lanka, mula hanyut memenuhi tebing pantai dekat ibu kota hari ini tatkala usaha memadamkan kebakaran masuk hari ke sembilan.
Kepulan asap hitam dari kapal didaftarkan di Singapura, MV X-Press Pearl, yang masih tersadai di luar pelabuhan Colombo itu juga berdepan risiko berlaku tumpahan 278 tan minyak dari tangkinya.
Anggota tentera laut lengkap berpakaian hazmat dikerah untuk membersihkan jutaan cebisan plastik yang diselaputi minyak terbakar dan pelbagai bahan lain, di sepanjang pantai Negombo, 40 kilometer ke utara Colombo.
Pantai yang menjadi tarikan utama pelancong dan pusat memancing itu kini sarat dengan pencemaran sisa plastik. Bagaimanapun, ia kini ditutup kepada orang ramai sejak kebakaran kapal kontena minyak dari Singapura itu. – AFP
