Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OGOS – Para peniaga dinasihatkan untuk sentiasa mengamalkan amalan perniagaan yang beretika dan bertanggungjawab berikutan penahanan sementara kadar duti eksais bagi bahan mentah plastik dan produk plastik lain berkaitan yang diumumkan oleh Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE) pada 6 Julai lalu.
Perkara itu ditegaskan oleh Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) di MOFE melalui Jabatan Hal Ehwal Pengguna (JHEP) dalam siaran akhbar yang dikeluarkan hari ini.
Para peniaga digalakkan untuk menerangkan dengan jelas mengenai perubahan harga yang berkaitan dengan perkembangan terkini cukai plastik.
Selain itu, sikap bertanggungjawab perlulah diamalkan dengan tidak menaikkan harga secara tidak munasabah, serta tidak memberikan justifikasi yang boleh mengelirukan pengguna.
Semasa pemantauan yang dijalankan oleh JPES, para peniaga telah diingatkan untuk mempraktikkan amalan penetapan harga yang wajar bagi mengekalkan persekitaran perniagaan yang sihat dan meningkatkan kepercayaan pengguna, serta menyumbang kepada menjayakan inisiatif dalam memelihara alam sekitar.
Sementara itu, pengguna pula digalakkan untuk menggunakan barangan kitar semula dan mesra alam ke arah menyokong pasaran dan ekonomi yang hijau serta mampan.
Untuk pertanyaan mengenai kenaikan harga yang tidak munasabah berikutan penahanan sementara kadar duti eksais boleh disalurkan kepada JPES bagi penelitian lanjut dan JPES akan terus memantau perkembangannya.
Pertanyaan boleh disalurkan melalui saluran rasmi aplikasi mudah alih PenggunaBijak dan Talian Darussalam 123 (TD123), dengan menyertakan keterangan aduan dan dokumen sokongan sebagai bukti.



