Wednesday, September 18, 2024
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Plat nama krayon curi perhatian

    Oleh Amri HTZ –

    Krayon, yang terbuat daripada tanah liat, pewarna dan lilin merupakan alat lukisan atau mewarna yang sudah tidak asing bagi kanak-kanak.

    Kelebihannya yang mudah untuk digunakan dan tidak mengering seperti pewarna dakwat menjadikannya pilihan bagi ibu bapa walaupun ia dibiarkan selepas anak-anak bermain.

    Namun sifatnya yang mudah patah menjadikan anak-anak kurang berminat untuk menggunakannya lagi. Bagi memanfaatkan krayon yang berukuran kecil, apa kata gunakannya untuk menghasilkan sebuah rekaan yang boleh dijadikan perhiasan ruangan. (gambar 1)

    Antara barang diperlukan

    • Krayon
    • Papan
    Heat gun
    • Mesin scroll saw
    • Mesin pencetak
    • Gam kayu
    • Alat pengapit kayu
    • Mesin router

    CETAK ATAU LAKAR NAMA PADA KAYU

    Krayon yang akan digunakan dalam projek ini merupakan yang terpakai. Bagi memanfaatkannya daripada terbiar atau dibuang begitu sahaja, ia akan dijadikan pewarna bagi rekaan yang akan dicampurkan dengan pelbagai warna. Oleh itu, krayon berukuran kecil bukanlah penghalang di mana ia juga memainkan peranan bagi mempelbagaikan warna untuk hasil akhir rekaan. (gambar 2)

    Huruf-huruf dalam nama pada rekaan akan lebih mudah direka dengan cara mencetaknya menggunakan mesin pencetak. Namun bagi awda yang mahir dalam melakarnya secara bebas, langkah ini boleh dilakukan terus pada permukaan papan. Bagi kertas yang dicetak, pilih bentuk tulisan yang tidak terlalu kompleks dan saiz yang bersesuaian. (gambar 3)

    Gambar 1. – Gambar oleh Branch and Bead dan Olson
    Gambar 2. – Gambar oleh Branch and Bead dan Olson
    Gambar 3. – Gambar oleh Branch and Bead dan Olson
    Gambar 4. – Gambar oleh Branch and Bead dan Olson
    Gambar 5. – Gambar oleh Branch and Bead dan Olson
    Gambar 6. – Gambar oleh Branch and Bead dan Olson
    Gambar 7. – Gambar oleh Branch and Bead dan Olson
    Gambar 8. – Gambar oleh Branch and Bead dan Olson
    Gambar 9. – Gambar oleh Branch and Bead dan Olson
    Gambar 10. – Gambar oleh Branch and Bead dan Olson
    Gambar 11. – Gambar oleh Branch and Bead dan Olson
    Gambar 12. – Gambar oleh Branch and Bead dan Olson

    Terdapat dua cara untuk mengukir nama pada papan tersedia iaitu menggunakan mesin router atau mesin scroll saw. Bagi mesin router, huruf-huruf yang telah cetak kemudian dilekatkan pada permukaan papan sebagai panduan untuk mengukir. Tetapkan kedalaman mata pemotong (jenis straight bit) untuk meletakkan krayon yang akan dicairkan nanti. Langkah ini hanya akan menggunakan sekeping papan. (gambar 4)

    Sementara cara kedua iaitu menggunakan mesin scroll saw, langkah yang sama dilakukan sebelum membolehkan huruf-huruf dipotongkan sama ada melekatkan kertas bercetak atau melakar secara bebas pada permukaan papan. Namun pada kali ini dua keping papan akan digunakan memandangkan huruf-huruf dipotong terus meninggalkan bahagian belakang yang kosong. Oleh itu papan kedua diperlukan untuk menutupi bahagian belakang rekaan bagi membolehkan krayon diletakkan. (gambar 5)

    Setelah melakar huruf diperlukan, tebuk kayu pada bahagian dalam huruf tersebut sebagai akses kepada bilah mesin scroll. Mula-mula tanggalkan bilah pemotong pada bahagian atas pemegang bilah pada mesin kemudian masukkannya pada lubang yang telah ditebuk. Setelah mengetatkan semula bilah pemotong, kerja pemotongan boleh dimulakan. (gambar 6)

    Sebagai peringatan, pilih bilah mesin yang bersesuaian di mana bilah jenis melebar tidak berapa sesuai bagi potongan yang memerlukan putaran menajam. Ini akan menyebabkan bilah pemotong patah ketika dipusingkan disebabkan ia kurang fleksibel. Sebagai saranan, bilah pemotong jenis spiral merupakan pilihan di mana ia sesuai untuk pemotongan dengan cara menyorong dan menarik material dan membolehkan awda memutarkan material potongan dengan mudah. (gambar 7)

    Setelah memotongkan huruf-huruf pada papan tersebut, potongkan sekeping lagi papan berukuran sama kira-kira 16” x 7.5”. Ketebalan papan tidaklah perlu sama dengan papan utama (4”) memandangkan kepingan tersebut hanya sebagai ruang penempatan krayon. (gambar 8)

    Cantumkan kedua-dua keping papan menggunakan gam kayu. Sapu keseluruhan permukaan cantuman dan tetapkan kedudukannya menggunakan ala pengapit kayu. Biarkan gam mengering selama beberapa jam sebelum meneruskan langkah seterusnya. (gambar 9)

    Memandangkan ketika proses mencantumkan kedua-dua keping kayu kadangkala tidak dapat diselaraskan dengan sempurna, permukaan yang tidak rata boleh sempurnakan dengan cara mengetamnya. Selain itu bagi awda yang suka bahagian sisi kayu yang berbentuk, ia boleh dikecapi menggunakan mesin router dengan mata bersesuaian. (gambar 10)

    Apabila yakin gam telah mengering sepenuhnya, kini krayon tersedia boleh ditempatkan pada ruang setiap satu huruf. Krayon yang terlalu panjang atau sukar untuk dimasukkan boleh dipatah-patahkan untuk memperkecilkan ukurannya. (gambar 11)

    Langkah terakhir ialah mencairkan krayon menggunakan heat gun. Pastikan heat gun ditetapkan pada kekuatan haba dan kelajuan angin yang bersesuaian agar krayon cair dengan sempurna. Bagi memastikan cairan krayon tidak meleleh keluar ketika heat gun dihalakan, tetapkan kelajuan angin mesin pada kedudukan terendah. Dengan langkah ini, kini rekaan plat nama daripada kayu yang unik boleh ditempatkan pada meja kerja mahupun menjadi perhiasan dinding ruang dalam rumah. (gambar 12)

    Tip rekaan

    • Elakkan terlalu banyak menggunakan krayon berwarna hitam untuk memastikan rekaan tidak terlalu ‘suram’ ketika krayon dicairkan nanti.

    • Penggunaan papan dengan ira-ira menarik akan menjadikan rekaan lebih sempurna.

    • Regangkan bilah pemotong mesin scroll sehingga menghasilkan bunyi ‘ping’ bernada tinggi bagi memastikan potongan dalam kedudukan yang lurus.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda