Oleh Nurdiyanah R.
Bagi menyemai kesedaran mengenai sumbangan ekosistem sastera terhadap pembangunan ekonomi negara, mahasiswa dan mahasiswi tahun akhir Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah menganjurkan Festival Sastera (Festera) 2023 baru-baru ini.
Bertemakan Menjana Ekonomi Sastera, festival tersebut melibatkan jalinan kerjasama mahasiswa dan mahasiswi daripada modul Pengurusan dan Pemasaran Sastera, Sastera dan Pendidikan serta Penyuntingan dan Penerbitan Produk Sastera.
“Diharapkan para mahasiswa dan mahasiswi dapat mengambil peluang untuk belajar dan menimba pengalaman tentang pengurusan dan pemasaran sastera. Justeru, hal ini akan membekalkan mereka dengan situasi dan gambaran sebenar terhadap kebolehpasaran sastera sesuai dengan perkembangan dunia semasa,” kata pengerusi acara, Awang Hajib Sarhan semasa berkesempatan ditemui Media Permata pada majlis perasmian acara berkenaan yang berlangsung di Dewan Serba guna, Kolej Kediaman Siswi, UBD.
Festera, yang bermula pada 2010, berfungsi sebagai platform tahunan untuk para penggiat seni dan sastera di Brunei berkumpul dan mempamerkan karya mereka.
SASTERA DALAM FILEM
Dayang Nurul Awadah Haziqah binti Jamidi dan Dayang Lina Jasmine binti Abdullah menjelaskan terdapat tiga peranan nilai sastera yang dapati diselami dalam penghasilan sesebuah filem iaitu memberikan inspirasi dan menggerakkan emosi; menghubungkan pengalaman hidup; dan membuka perspektif baharu.
“Dengan adanya nilai-nilai sastera itu, ia pastinya dapat memberikan inspirasi kepada penonton dan membangkitkan emosi seperti kegembiraan atau kesedihan mendalam. Ia juga mampu mencerminkan realiti manusia dan memberikan makna yang mendalam bagi pengalaman hidup penonton. Di samping itu, nilai-nilai sastera juga dapat membantu penonton melihat dunia daripada perspektif yang berbeza dan melibatkan mereka dalam pemikiran kritis,” tambah mereka.
Dalam pada itu, Dayang Lina Jasmine juga menekankan bahawa antara kepentingan memahami nilai-nilai sastera dalam filem itu sebagai satu penghargaan bagi karya seni di mana secara tidak langsung ia membantu para penonton menghargai keindahan dan kerumitan pembikinan seni perfileman.
“Dengan memahami nilai-nilai sastera, ia juga mampu melatih kemampuan penonton untuk memahami proses pemikiran, tujuan dan maksud di sebalik kisah yang ditampilkan dalam sesebuah filem. Di samping itu, ia juga mampu meningkatkan pemahaman, empati, dan rasa kesatuan antara penonton dan karakter yang dimainkan dalam sesebuah filem,” ujarnya.
Dengan memberikan contoh sebuah filem berjudul MALBATT: Misi Bakara, Dayang Nurul Awadah menjelaskan bahawa nilai-nilai sastera yang terkandung pada filem berkenaan telah mempamerkan sebuah inspirasi kepahlawanan yang menggambarkan jiwa keberanian dan pengorbanan pasukan pengaman Malaysia dalam misi mereka untuk membawa keamanan kepada negara yang dilanda konflik. Selain itu, filem berkenaan juga mampu mewujudkan kesan emosi berdasarkan sebuah kisah yang menyayat hati dalam kehidupan para tentera dan keluarga mereka sekali gus menonjolkan sisi kemanusiaan dalam operasi ketenteraan.
SASTERA DAN LAGU
“Sebuah lagu berperanan untuk mendidik, dilihat dari setiap bait lirik yang boleh meninggalkan kesan kepada pendengar seperti kata-kata semangat, pengajaran, nasihat, kisah dan sebagainya. Walaupun penggunaan kata-kata ada yang berupa simbolik atau bahasa kiasan, setiap lagu mengandungi kisah tersendiri seperti menceritakan tentang kehidupan, pengalaman atau andaian.”
Itulah antara penjelasan yang dikongsikan oleh Dayang Nur Haziyah Basirah binti Haji Marali, Dayang Nur Nihayatul Izzah binti Haji Matussin, dan Dayang Nur Izzati Syahirah binti Haji Irwan Nazmi ketika mengetengahkan pameran berjudul Sastera dan Lagu pada festival tersebut.
Tiga orang mahasiswi berkenaan turut menambah bahawa sesebuah lagu itu juga secara tidak langsung dapat melahirkan dan mewujudkan perasaan batin seseorang. Ada lagu bersifat peribadi sehingga melibatkan rasa cinta, sedih atau pun rasa kehilangan yang boleh menimbulkan kesan kepada pendengar.
“Misalnya, apabila kita mendengar bait-bait lirik dari salah sebuah lagu klasik berjudul Tak Seindah Wajah hasil nyanyian SM Salim, antara makna tersurat dan tersirat yang dapat diselami ialah wajah bukanlah kayu ukur suatu sifat seseorang kerana wajah itu sendiri hanya sifat luaran semata-mata, sedangkan perkara sebenar yang perlu dinilai adalah sifat asli yang tertanam dalam hati masing-masing,” ujar mereka.
SASTERA DALAM PERMAINAN VIDEO
Sementara itu, tiga orang mahasiswa terdiri daripada Awang Shahiriel bin Late, Awang Muhammad Khairul ‘Azim bin Zainal dan Awang Muhammad Nashrun Nadeem bin Haji M Marali turut tidak melepaskan peluang menerangkan kelebihan permainan video dalam pendidikan sastera.
“Jika kita pernah bermain permainan video berjudul Overcooked!, secara ringkasnya permainan video berkenaan sangat menekankan kepentingan kerja berpasukan di mana pemain-pemain mesti bekerjasama untuk menyediakan dan menyampaikan pesanan dengan cekap. Ini boleh mengajar para pemain cara menyelaraskan tugas, berkomunikasi dengan berkesan dan membahagikan tanggungjawab yang merupakan kemahiran berharga dalam banyak senario kehidupan sebenar,” kata Awang Shahiriel.
Dalam pada itu, Awang Muhammad Khairul ‘Azim turut menambah bahawa salah satu nilai pengajaran yang juga dapat diambil daripada permainan video berkenaan ialah latihan dalam menyelesaikan masalah di mana para pemain terdedah dengan pelbagai cabaran dan halangan seperti ruang dapur yang terhad, persekitaran yang berubah-ubah dan pelanggan yang menuntut tempahan mereka. Dari situ, para pemain mestilah berfikir dengan betul dan menghasilkan penyelesaian kreatif demi memenuhi tugasannya dengan sempurna.
Awang Muhammad Nashrun juga menambah bahawa menerusi permainan video Mobile Legend yang tidak asing lagi dan digemari oleh golongan muda masa kini, beberapa pengajaran yang dapat diperoleh ialah mendidik jiwa supaya bersabar lebih-lebih lagi ketika menunggu detik-detik musuh melakukan kesilapan demi mengambil kesempatan.
Di samping itu, jelasnya, permainan video berkenaan juga mampu meningkatkan kerja berpasukan dan komunikasi antara pemain. Jika komunikasi berpasukan baik, maka keputusan setiap pergerakan dapat didengar oleh pasukan. Setiap pasukan juga mempunyai peranan masing-masing dan perlu memainkan tugasan mereka dengan baik.
Permainan video ini juga menggunakan segala data yang terpapar di skrin untuk mengatur serangan di mana ia menekankan sikap berfikir dahulu sebelum melakukan apa-apa.
PENGGUNAAN APLIKASI DALAM PEMBELAJARAN SASTERA
Dayang Nurul Iffasyuhada binti Abdullah Mahdini, Dayang Nornazirah Al-Basirah binti Noor Alimin, dan Dayang Rasyidah binti Rosliani mengongsikan penggunaan teknologi begitu penting dalam pendidikan kerana ia memudahkan para pelajar mengakses maklumat dengan lebih cepat dan mudah serta menghasilkan bahan pengajaran yang lebih menarik dan interaktif agar dapat membantu meningkatkan minat pelajar terhadap subjek-subjek tertentu.
Mereka turut menambah kini dunia pendidikan mengalami transformasi di mana ia lebih menekankan pembelajaran kolaboratif yang lebih menjurus kepada kerja berpasukan dan perkongsian pengetahuan; pembelajaran berasaskan projek di mana golongan pelajar didedahkan dengan aktiviti-aktiviti berbentuk praktikal sebagai cara pembelajaran dan memahami maklumat lebih berkesan; di samping pembelajaran berasaskan perhubungan global sehingga membolehkan sumber pendidikan dapat diakses dari seluruh dunia.
Antara aplikasi yang dapat digunakan bagi memperkasakan pembelajaran sastera ialah Kahoot!, Canva, Duolingo, dan Google Classroom.
KATA-KATA INDAH DI SEBALIK LENCANA BUTANG
‘Hidup tak selalunya indah tapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan’, ‘Dunia ini adalah pentas dan manusia adalah pelakonnya’, dan ‘Kecemerlangan seseorang adalah hasil daripada sikap yang ingin sentiasa melakukan yang terbaik’.
Begitulah antara sentuhan kata-kata indah bersulam nilai motivasi menjadi paparan permukaan setiap produk lencana butang yang diketengahkan oleh Dayang Nuradibah binti Mohammad Halid semasa mengikuti pameran pada festival tersebut.
“Sastera ini bukan hanya semata-mata untuk pembelajaran dalam kelas bahkan dengan adanya ilmu sastera juga dapat menjana ekonomi seperti lencana butang sebegini.
“Dengan memuatkan pengisian kata-kata pada produk lencana butang, ia secara tidak langsung mengajar seseorang yang membacanya merenung erti kehidupan sekali gus memberikan motivasi dalam diri. Itulah kepentingan sastera dalam kehidupan kita,” ucapnya di akhir pertemuan bersama penulis, baru-baru ini.