Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OKT – Acara Hari Teknopreneur 2025, anjuran Fakulti Teknologi Islam (FTI), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), telah dilancarkan pagi tadi di Kampus Gadong, UNISSA, sebagai usaha berterusan melahirkan teknousahawan berteraskan nilai Islam yang berdaya saing dan inovatif.
Majlis perasmiannya disempurnakan oleh Rektor UNISSA, Dato Seri Setia Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal. Turut hadir ialah pegawai-pegawai utama UNISSA, wakil-wakil industri dan agensi kerajaan, tenaga akademik serta para pelajar.
Acara tahunan yang berlangsung pada 27 Oktober hingga 1 November itu mengangkat tema Berinovasi dengan Teknologi, Menginspirasikan Teknousahawan Islam: Memanfaatkan Inovasi Digital untuk Usaha yang Berimpak dan Lestari, menekankan kepentingan inovasi digital berpaksikan nilai Islam dalam menjana pembangunan mampan.
Sepanjang minggu berlangsung, pelbagai aktiviti menarik turut diadakan termasuk pameran produk inovasi pelajar, bengkel keusahawanan, sesi perkongsian industri serta pertandingan Technopreneurship yang merangkumi empat kategori utama, iaitu Start-up Pitching, Pitching Pelan Perniagaan, Promosi dan Penjenamaan, serta Kemahiran Pemasaran.
Sementara itu, Dekan FTI, Profesor Dr Haji Abdul Hafidz bin Haji Omar dalam ucapan alu-aluannya, menekankan Hari Techneoprenure itu menjadi platform strategik bagi pelajar mempersembahkan projek inovasi, membentangkan idea perniagaan berasaskan teknologi serta meneroka peluang memulakan perniagaan baharu.
Program tersebut juga menghubungkan pembelajaran akademik dengan pengalaman industri sebenar bagi melahirkan pereka cipta dan teknousahawan Islam masa hadapan.
Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama industri dalam memberi bimbingan serta perkongsian ilmu kepada pelajar agar lebih bersedia menghadapi dunia pekerjaan yang kompetitif.
Menurutnya, melalui penglibatan pakar industri, pelajar bukan sahaja berkemahiran dalam teknologi tetapi juga memiliki kebolehan komunikasi, kerja berpasukan dan keusahawanan yang mantap.



