Ahad, 23 November 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Platform inovasi tangani cabaran mampan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OKT – Dengan membawa tema, Technology Innovations for a Sustainable Future, Universiti Teknologi Brunei (UTB), hari ini, telah merasmikan kongres dwitahunan, UTB Science, Technology and Engineering Connect 2025 (UTB-STE Connect 2025) dalam majlis yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas.

    Acara itu menyediakan platform bagi ahli akademik, saintis, penyelidik, jurutera, pakar industri dan pihak berkepentingan yang lain untuk berkongsi ilmu pengetahuan, bertukar-tukar idea dan mencadangkan penyelesaian inovatif bagi menangani cabaran-cabaran kemampanan kontemporari.

    Hadir untuk menyempurnakan perasmian kongres berkenaan, Menteri Pendidikan dan Pengerusi Majlis UTB, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Md Salleh.

    YB Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah menyempurnakan perasmian UTB-STE Connect 2025. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.

    Dalam kata alu-aluannya, Naib Canselor UTB, Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman menyatakan tema kongres itu mengingatkan kita bahawa tidak ada satu disiplin yang dapat menangani cabaran yang kita hadapi.

    “Perkembangan memerlukan jurutera untuk bekerjasama dengan agro-saintis, penganalisis data berkolaborasi dengan pereka kreatif dan akademia bekerja rapat dengan industi kerana di persimpangan inilah, kejayaan sebenar berlaku,” jelasnya lagi.

    Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah menyampaikan kata alu-aluannya pada majlis berkenaan.

    Majlis turut menyaksikan pembentangan sesi plenari bertajuk, Technology Innovations for a Sustainable Future, yang disampaikan oleh Presiden dan Naib Canselor Sunway University, Profesor Sibrandes Poppema.

    UTB-STE Connect 2025 dianjurkan bersama dengan Universiti Brunei Darussalam (UBD), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), ASEAN University Network (AUNSEED-NET), COMSTECH, IBM, Institution of Engineering and Technology (IET), Sunway University, University of Technology Sarawak (UTS), Konsortium Universiti Universitas Borneo (KUUB), Kumaraguru College of Technology dan Aligarh Muslim University.

    Kongres itu mengetengahkan pelbagai program yang distruktur sekitar 5 persidangan dan 6 acara utama yang menawarkan spektrum perbincangan dan topik yang meluas.

    Persidangan-persidangan berkenaan, 10th International Conference on Engineering and Technology (BICET), 7th International Conference on Applied Computational Intelligence in Information System (ACIIS), 3rd International Conference on Business Management and Information System (ICBMIS), 2nd International Conference on Agrotechnology, Beverage and Food (ICABF) dan 2nd International Conference on Creative Arts Design and Technology (ICCArTe).

    Di antara mereka yang menghadiri majlis berkenaan.

    Selain itu, kongres tersebut turut mengetengahkan 3rd UTB University Presidents’ Forum, 2nd UTB Women Leadership Forum, 1st Global Conference on Industrial, Materials, and Manufacturing (GCIMM), Postgraduate Colloquium, the ASEAN Sustainable Ready Summit for Industry 5.0 Programme (SRI 5.0) serta Science, Technology, and Innovation (STI) Coordination.

    Kongres yang diadakan bermula 20 Oktober hingga 22 Oktober dalam format hibrid, terus menyediakan platform yang baik bagi wacana intelektual, perkongsian ilmu pengetahuan dan kolaborasi di kalangan peserta-peserta daripada seluruh dunia.

    GAMBAR OLEH SIM Y. H.

    Para peserta berpeluang untuk memperoleh gambaran mengenai teknologi-teknologi yang baru muncul, meneroka penyelesaian inovatif bagi pembangunan mampan serta terlibat dalam perbincangan yang mengukuhkan rangkaian industri dan penyelidikan antarabangsa dan serantau.

    UTB-STE Connect 2025 mengesahkan semula komitmen UTB kepada memajukan penyelidikan, inovasi dan kemampanan sambil mengukuhkan keberadaan Negara Brunei Darussalam dalam komuniti teknologi dan saintifik global

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda