BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Feb – Bermula 1 Februari 2017, Pusat Pekerjaan Brunei (JCB) memulakan waktu operasi baru bagi perkhidmatan kaunter iaitu Isnin hingga Sabtu dari pukul 8 pagi hingga 11:45 pagi dan 2 petang hingga 4 petang, kecuali Jumaat dari 8 pagi hingga 11:30 pagi dan 2 petang hingga 4 petang.
JCB yang terletak di bekas bangunan BINA, KM 8, Jalan Perindustrian Beribi telah memulakan operasinya pada 11 Januari 2017 yang lalu dan dibuka kepada semua pencari kerja dan syarikat tempatan.
Menurut kenyataan Jabatan Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri, JCB bermatlamat untuk menjadi ‘Pusat Kerjaya Sehenti’ di mana pencari kerja tempatan boleh menggunakan perkhidmatan-perkhidmatan yang disediakan untuk membantu meningkatkan kebolehpasaran dalam pasaran kerja dan di mana syarikat-syarikat swasta boleh menggunakannya bagi proses pengambilan pekerja tempatan.
Penambahbaikan JCB adalah salah satu tindakan yang dilaksanakan oleh Majlis Perancangan Tenaga Kerja untuk menangani isu-isu penyesuaian pekerjaan bagi para pencari kerja tempatan dan untuk menyediakan bantuan bagi syarikat-syarikat dalam pencarian bakat.
Menurut kenyataan itu lagi, untuk menggunakan perkhidmatan-perkhidmatan dan kemudahan yang tersedia, para pencari kerja tempatan perlu mendaftar dalam talian di www.jobcentrebrunei.gov.bn yang boleh diakses bila-bila masa sahaja.


JCB adalah platform bagi proses penyesuaian pekerjaan, di mana para pencari kerja tempatan boleh merujuk keperluan pekerjaan dan penjelasan kekosongan dalam sektor swasta yang sepadan dengan kelayakan mereka.
Kaunter-kaunter pendaftaran juga terdapat di JCB di mana kakitangan pusat berkenaan dapat menawarkan pengalaman yang lebih peribadi, di samping itu, kios layan diri juga disediakan.
Perkhidmatan-perkhidmatan lain termasuk sesi-sesi kaunseling untuk membantu para pencari kerja menentukan hala tuju kerjaya yang sesuai dan memperbaiki kebolehpasaran mereka dalam pasaran pekerjaan tempatan.
Program-program peningkatan kemahiran yang ditawarkan termasuk tip-tip penulisan CV dan temu duga, literasi digital dan pelbagai ceramah motivasi daripada individu-individu cemerlang.
Para pencari kerja juga boleh merujuk JCB bagi peluang-peluang perantisan berkaitan.
Di samping program-program dan perkhidmatannya, JCB juga menyediakan peluang bagi para pencari kerja menjalani latihan
dalam talian, terutamanya bagi mereka yang tidak mempunyai komputer di rumah.
JCB juga menyediakan bilik-bilik temu duga, bilik mesyuarat dan kemudahan auditorium untuk digunakan oleh perusahaan-perusahaan mikro, kecil dan sederhana dalam proses berkaitan pengambilan pekerja, pembangunan pencari kerja tempatan dan penglibatan kakitangan.
Selain menyediakan perkhidmatan-perkhidmatan kepada para pencari kerja, JCB juga berfungsi sebagai agensi pemerhati bagi pendaftaran mandatori syarikat-syarikat, kekosongan pekerjaan di sektor swasta dan pencari kerja tempatan yang diharap dapat memperbaiki pengambilan pekerja tempatan di sektor swasta.
Kaunter-kaunter pendaftaran disediakan bagi syarikat-syarikat untuk mendaftar secara langsung ke sistem berkenaan dan mendaftarkan kekosongan kerja.