Saturday, October 12, 2024
30.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Platform kongsi amalan terbaik bagi sektor perkhidmatan awam

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 OKT – Program Pembangunan Kepimpinan (LDP) menawarkan peluang yang unik bagi menyelami sifat pelbagai bentuk transformasi perkhidmatan awam iaitu dari urus tadbir digital, pembangunan sumber manusia, inovasi dasar dan amalan-amalan mampan.

    Perkara tersebut dinyatakan oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Urus Tadbir Perkhidmatan Awam), Jabatan Perdana Menteri (JPM), Pengiran Haji Raffizanna bin Pengiran Haji Razali dalam ucapannya di Majlis Pembukaan LDP Brunei-Malaysia-Singapura ke-15 yang berlangsung di Institut Perkhidmatan Awam (IPA), hari ini.

    Dalam ucapannya lagi, beliau menyatakan keyakinan bahawa mereka dapat memperoleh manfaat daripada kepakaran satu sama lain seperti dalam bidang urus tadbir digital dan bagaimana teknologi boleh dimanfaatkan dengan sebaiknya untuk meningkatkan penglibatan warga serta penyampaian perkhidmatan.

    Dalam bidang pembangunan sumber manusia pula, program tersebut diharapkan dapat memupuk sebuah tenaga kerja yang siaga masa depan, inovatif dan tangkas serta dalam bidang inovasi dasar, ia dapat mengajar mereka cara menggubal dasar yang bukan sahaja efektif tetapi juga transformatif.

    Selain itu, jelas Pengiran Haji Raffizanna, mereka mesti meneroka nilai strategik kerjasama awam-swasta, melaksanakan amalan urus tadbir mampan, menguasai pengurusan perubahan efektif dan menubuhkan sistem pengurusan prestasi mantap.

    Pada masa yang sama, mereka mesti mengutamakan rekaan berpaksikan warga dengan memastikan bahawa keperluan dan perspektif warga yang mereka berkhidmat untuk, kekal berada di tengah segala yang mereka lakukan.

    Program LDP ke-15 dijalankan selama 12 hari bermula dari 7 Oktober hingga 18 Oktober di mana ia kini beredar ke Negara Brunei Darussalam. Bertemakan Membina Masa Depan Kita Bersama, program itu memberikan peluang kepada peserta dari tiga buah negara untuk bertukar-tukar fikiran dan berkongsi amalan terbaik antara satu sama lain dalam menyediakan inisiatif dan dasar ke arah perkhidmatan awam yang dinamik lagi berdaya tahan bagi mencapai matlamat dan agenda negara.

    Seramai 30 orang penjawat awam dari Brunei, Malaysia dan Singapura telah dipilih untuk mengikuti program berkenaan. Program itu dihasratkan dapat membentuk pemimpin yang mampu mengubah strategi menjadi tindakan serta memperkukuh jaringan individu serta mengukuhkan lagi kerjasama masa depan antara ketiga-tiga buah negara.

    Program tahunan itu mula dilancarkan pada November 2009. Bagi LDP ke-15, program dimulakan di Malaysia di mana para peserta dari Singapura dan Brunei mengunjungi Malaysia pada 7 hingga 10 Oktober, program beralih ke Negara Brunei Darussalam pada 11 Oktober untuk pusingan kedua sebelum menuju ke Singapura bagi pusingan terakhir program pada 16 Oktober.

    Pengiran Haji Raffizanna menyampaikan ucapannya di majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH SIM Y.H.
    Pengiran Haji Raffizanna bergambar ramai dengan para peserta Program LDP ke-15. – GAMBAR OLEH SIM Y.H.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda