BRUSSELS, 21 JAN – Beberapa platform media sosial utama, termasuk X dan Facebook, bersetuju untuk meningkatkan usaha mengatasi ucapan berunsur kebencian di Kesatuan Eropah (EU).
Langkah itu diambil berikutan peraturan digital EU berdepan pengawasan susulan pelantikan Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat.
Instagram, TikTok dan YouTube turut menyertai 12 platform lain yang menandatangani kod tingkah laku diperbaharui. Kod itu, walaupun masih bersifat sukarela, dirangka bagi menangani apa yang dianggap blok 27 negara itu sebagai ucapan berunsur kebencian yang melanggar undang-undang, kata Suruhanjaya Eropah dalam kenyataannya.
“Di Eropah, tidak ada ruang untuk ucapan berunsur kebencian, sama ada secara fizikal atau dalam talian,” kata Naib Presiden Suruhanjaya untuk Kedaulatan Teknologi, Henna Virkkunen.
“Kerjasama erat antara semua pihak adalah langkah ke hadapan untuk memastikan ruang digital yang selamat bagi semua,” ujarnya.
Peraturan EU yang mewajibkan syarikat teknologi mengawal kandungan dalam talian kini berdepan tekanan selepas Trump, pengguna tegar media sosial yang sering mengkritik dakwaan berat sebelah sayap kiri dalam menyederhanakan kandungan, dipilih semula sebagai Presiden AS pada November.
Antara penyokong Trump, pemilik X, Elon Musk mengkritik Akta Perkhidmatan Digital (DSA) sebagai alat penapisan. Ketua Pegawai Eksekutif Meta, Mark Zuckerberg turut menuduh EU menyekat kebebasan bersuara, seiring dengan pandangan pentadbiran baharu AS. – AFP