Ahad, 23 November 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Platform memperkasa produk tani tempatan

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 JUN – Dalam usaha untuk membantu pengusaha dan peladang tempatan bagi mengukuhkan sektor pertanian di negara ini, gerai hujung minggu, Pasar Kitani di Dewan Melati, Pusat Agribisnes Rimba, Gadong menjadi platform untuk memasarkan produk mereka.

    Pasar Kitani yang dibuka untuk kunjungan orang ramai setiap Sabtu dan Ahad seawal pukul 7 pagi itu memberi peluang kepada orang ramai bagi berbelanja di bawah satu bumbung untuk produk dan hasil pertanian negara.

    Wartawan Media Permata semasa berkunjung ke pasar itu sempat menemu bual seorang petani, Dayang Susi Nordiana binti Haji Azahari dari Kampung Selayun Sengkurong B yang menjual kuih-kuih kering dan beras.

    Menurutnya, produk jualannya adalah hasil daripada petani tempatan di negara ini dan dijual di pasar itu untuk memudahkan orang ramai mendapatkan produk yang dihajati dari daerah ini.

    Manakala temu bual dengan ahli Jawatankuasa Majlis Perundingan Kampung (MPK) Tungku dan Katok yang juga Pengurus Ladang Nanas, Haji Matali bin Haji Apong pula menjelaskan, untuk hasil tani MPK Tungku dan Katok mengetengahkan produk tani kampung iaitu buah nanas dan ia telah mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

    Gambar ramai Pengurus Ladang Nanas Haji Matali bersama pengerusi dan ahli MPK Tungku dan Katok semasa di Pasar Kitani.
    Antara pengunjung yang tidak melepaskan peluang mengunjungi Pasar Kitani.

    “Selain mempromosikan hasil dari ladang nanas, MPK berkenaan turut mengetengahkan madu kelulut yang juga tidak kurang mendapat sambutan daripada orang ramai di Pasar Kitani ini,” jelasnya.

    Beliau seterusnya menerangkan MPK hanya menumpukan kepada penjualan buah nanas saja kerana buat masa ini, benih nanas belum lagi dijual disebabkan ianya belum mencukupi untuk dipasarkan yang mana benih-benih nanas ini di datangkan dari Taiwan, Sabah dan juga Sarawak.

    Beliau turut mengongsikan bahawa MPK juga diberikan 50 ekar tanah di Kawasan Kemajuan Pertanian Tungku iaitu bersebelahan ladang nanas yang ada pada masa ini untuk diusahakan.

    “Dengan kepercayaan yang diberikan, MPK akan membuat persediaan untuk benih-benih nanas ini supaya ia dapat ditanam di tapak baharu nanti,” tambahnya.

    Pasar Kitani dibuka dari 7:30 pagi itu turut mempromosi dan memperkenalkan produk MPK Tungku dan Katok, yang mana produk MPK ini juga boleh diperolehi di gerai Tungku yang beroperasi setiap hari, jelas Haji Metali.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda