Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Platform Nusuk Arab Saudi jadi gerbang global untuk jemaah dan pelawat dengan 40 juta pengguna

    ARAB SAUDI, 7 NOV – Penggunaan platform digital Nusuk Arab Saudi bagi memudahkan urusan haji, umrah dan ziarah telah berkembang pesat dalam kalangan jemaah dan penziarah dari seluruh dunia, meningkat tiga kali ganda kepada lebih 40 juta dari 190 negara dalam tempoh hanya setahun.

    Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi yang menguruskan platform itu berkata Nusuk menawarkan perkhidmatan bersepadu kepada jemaah antarabangsa termasuk pengeluaran visa, tempahan penerbangan, penginapan, pengangkutan serta lawatan dengan pemandu ziarah, dengan lebih 90 peratus penggunanya kini datang dari luar negara.

    “Platform ini juga telah mencatat lebih 26 juta muat turun, mengeluarkan lebih 17 juta permit umrah dan 13 juta permit untuk menziarahi Al-Rawdah Al-Sharifah.

    “Pencapaian ini adalah sebahagian daripada lebih 130 perkhidmatan digital yang direka untuk memudahkan urusan serta memperkayakan perjalanan keagamaan dan budaya para jemaah,” menurut kenyataan kementerian itu.

    Kementerian itu berkata kemajuan berkenaan mencerminkan usaha berterusan Arab Saudi untuk memodenkan ekosistem perkhidmatan haji dan umrah melalui penyelesaian inovatif serta bersepadu.

    Platform Nusuk serta inisiatif Laluan Mekah yang dilaksanakan oleh Kementerian Dalam Negeri dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan menjadi model terkemuka tentang bagaimana teknologi dan penyelarasan organi-sasi dapat mempertingkatkan perkhidmatan kepada jemaah haji dan umrah.

    “Pada musim haji 2025, inisiatif Laluan Mekah telah memudahkan ketibaan 314,337 jemaah melalui 899 penerbangan yang mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz di Jeddah dan Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad bin Abdulaziz di Madinah,” menurut kenyataan itu.

    Mengenai Persidangan dan Pameran Haji 2025 yang dijadual berlangsung di Jeddah dari 9 hingga esok, kementerian berkata acara itu mencerminkan komitmen berterusan Arab Saudi dalam membangunkan ekosistem haji dan umrah. – Bernama

    Gambar Unsplash
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda