Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Ogos – Peningkatan dan perkembangan usahawan-usahawan muda di Negara Brunei Darussalam di tahap positif, seiring dengan perkembangan informasi dan teknologi.
Ini membuktikan para belia sudah berani melangkah dan meneroka alam perniagaan sebagai salah satu kerjaya mereka.
Dalam usaha mendorong peningkatan itu, Jabatan Belia dan Sukan telah menyediakan satu platform yang efektif kepada para belia dengan mengadakan Sesi Perbincangan Terbuka Ekosistem Keusahawan Belia.
Hadir selaku tetamu kehormat di sesi pleno anjuran Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan Kementerian Tenaga dan Perindustrian ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.
Turut hadir ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Iswandy bin Ahmad; dan Timbalan Menteri Tenaga dan Perindustrian , Dato Seri Paduka Haji Matsatejo bin Sokiaw.

Sesi yang berlangsung selama tiga hari di Dewan Muzakarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas itu bermula dengan taklimat oleh Kementerian Tenaga dan Perindustrian mengenai gambaran ekosistem keusahawanan belia yang terdiri daripada inisiatif dari pelbagai agensi dalam lima bidang utama termasuk pembinaan kapasiti dan perkhidmatan sokongan bersama, infrastruktur dan kemudahan, pembiayaan, akses pasaran serta sebagai peluang perniagaan.
Lebih 200 orang belia hadir mendengarkan sesi pembukaan pleno usahawan belia bertajuk ‘Ekosistem Keusahawan Belia’ yang disertai oleh para
pengusaha, kakitangan kerajaan dan swasta, yang mana mereka memberikan sedikit sebanyak penerangan mengenai perniagaan dan mewujudkan lebih banyak peluang bagi para belia untuk memulakan, memiliki, mengurus dan menjalankan perniagaan, pelbagai program yang telah disediakan oleh pelbagai agensi.
Antara mereka yang berkepentingan hadir ialah Haji Mohd Loqman Al-Hakim bin Haji Hamdan dari Al-Huffaz Management; Dayang Edyzurina binti Awang dari As-Salwaa; Haji Muliadi bin Moksin dari Marsya Farm; Philip Ong dari BruGoat Farming; Pengurus Nilai dalam Negara, Brunei Shell Petroleum, Hajah Rosita Hassan; Pegawai Eksekutif Darussalam Enterprise (DARe), Awang Khairul Salleh; dan Pegawai Perhubungan Bank Usahawan, Dayang Nur Amalina Haji Abdul Rahman.
Sesi pleno berkenaan juga bertujuan untuk membangunkan kapasiti dan perkhidmatan sokongan perniagaan yang dikongsi seperti menawarkan rangkaian mentor.
Skim pembiayaan disediakan untuk memenuhi keperluan para usahawan untuk mendapatkan modal bagi menubuhkan dan mengembangkan perniagaan mereka.
Infrastruktur seperti kilang pasang siap, premis pejabat dan ruang kerja bersama disediakan untuk dimanfaatkan oleh para usahawan.
Sebagai tambahan, kontrak dari pelbagai industri di sektor awam dan swasta akan dipertaruhkan untuk usahawan belia membuat tawaran kompetitif.
Inisiatif-inisiatif ini akan mendorong keusahawanan belia yang amat penting untuk pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), dan mewujudkan peluang pekerjaan untuk pembangunan ekonomi negara yang mapan dalam jangka panjang.
KKBS, Kementerian Tenaga dan Perindustrian, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, dan DARe bekerjasama membuat buku panduan yang memberi tumpuan kepada inisiatif yang secara khusus membantu usahawan belia untuk memulakan atau mengembangkan perniagaan mereka.
Antara objektif sesi pleno hari ini adalah untuk menjadikan platform perbincangan di antara usahawa-usahawan belia dan agensi-agensi berkenaan di dalam isu-isu ekonomi semasa.
Bahkan ia diharap akan menjadi hala tuju yang efektif bukan sahaja di kalangan para usahawan belia tetapi juga bagi agensi-agensi kerajaan.