Monday, May 12, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Platform persiap generasi berwawasan

    Oleh Salawati Haji Yahya

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 April – Seramai 20 orang lepasan ijazah dari institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara menyertai Program Perkampungan Sivik pertama bagi tahun 2018 yang akan berlangsung selama enam hari lima malam bermula hari ini.

    Perkampungan sivik telah dimulakan dengan taklimat yang berlangsung di Dewan Auditorium, Bangunan Tambahan Ibu Pejabat Jabatan Penerangan itu dihadiri oleh Pemangku Pengarah Penerangan, Awang Mawardi bin Haji Mohammad.

    Taklimat mengenai Program Perkampungan Sivik telah disampaikan oleh Ketua Unit Kenegaraan, Bahagian Kenegaraan dan Kemasyarakatan, Hajah Hamsah binti Datu Kerna Haji Jaya.

    Dalam ucapannya di majlis itu, Awang Mawardi menjelaskan bahawa peserta perkampungan berkenaan merupakan bakal pemimpin yang akan meneruskan survival bangsa dan negara di mana mereka perlu diberikan kefahaman dan maklumat mengenai falsafah, aspirasi dan matlamat negara supaya mereka dapat mengimbangi pengetahuan akademik mereka.

    Sejajar dengan perkembangan semasa seperti peluang pekerjaan yang lebih mencabar, jelasnya, mereka perlu didedahkan dengan pelbagai pengetahuan dan pengalaman berguna sebagai persediaan mencari pekerjaan atau sebelum masuk ke alam pekerjaan.

    Awang Mawardi, Hajah Hamsah (kiri) semasa menghadiri Program Perkampungan Sivik di Dewan Auditorium, Bangunan Tambahan Ibu Pejabat Jabatan Penerangan. – Gambar Infofoto

    Beliau seterusnya berharap, program berkenaan akan menjadi salah satu platform bagi mempersiapkan peserta khususnya lepasan ijazah dalam mengharungi pelbagai cabaran masa depan seterusnya mampu mempersiapkan diri sebagai generasi berwawasan, berkualiti, memiliki kemahiran tinggi serta mampu berdikari tanpa mengharap bantuan orang lain.

    “Dalam masa yang sama, lepasan ijazah ini diharap mampu berfikir secara kreatif dan kritis khususnya bagi mencapai wawasan 2035 sekali gus mampu merebut peluang pekerjaan bukan saja di sektor kerajaan tapi juga di sektor swasta,” tegasnya.

    Menurutnya lagi, pada masa kini ramai belia lepasan ijazah bekerja di sektor swasta dan ada yang memilih untuk menjalankan perniagaan dan menjadi usahawan.

    “Kerja di sektor swasta dapat memberikan peluang untuk peserta menambah ilmu, berdisiplin, pengalaman, berdaya saing, keyakinan malah ia boleh mempelbagaikan peserta lebih marketable, dinamik seterusnya mampu menjaga ekonomi negara,” ujarnya.

    Beliau seterusnya menambah, menjadi tanggungjawab sebagai rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk memainkan peranan dalam mendukung matlamat dan aspirasi negara dengan cara memberikan sumbangan positif.

    Program anjuran Jabatan Penerangan melalui Unit Kenegaraan, Bahagian Kenegaraan dan Kemasyarakatan itu berlangsung di Dewan Kompleks Sukan Sungai Kebun.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, program yang telah dikendalikan sejak 1976 itu bukan saja memfokuskan kepada lepasan ijazah seberang laut tapi kini dilaratkan kepada lepasan ijazah tempatan yang belum bekerja atau yang berminat untuk menjadi pengusaha.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda