Friday, December 27, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Platform terbesar e-Dagang dilancar

    Oleh Sim Y. H.

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Jan – Industri platform perdagangan dalam talian tempatan menunjukkan perkembangan positif yang mana ia bukan sahaja menyediakan platform bagi usahawan tempatan untuk menawarkan produk dan perkhidmatan mereka kepada para pelanggan tempatan tetapi juga kepada pelanggan serantau.

    Sehubungan dengan itu, Babakimpo Sdn Bhd telah melancarkan platform perdagangan dalam talian, Babakimpo.com pada majlis yang berlangsung di Ruang Legar, Times Square, Berakas, kelmarin.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan sama-sama menyempurnakan perasmian ialah Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Mustappa bin Haji Sirat.

    Turut hadir ialah Pengerusi Babakimpo Sdn Bhd, Dato Sri Lau Kung Ching; Pengarah Urusan Babakimpo Sdn Bhd, Awangku Zaini bin Pengiran Haji Othman; Pengarah Urusan Babakimpo Sdn Bhd, Zaiyunah binti Haji Mohd Salleh dan Presiden Persatuan FuZhou Shiyyi, Jackson Ting serta para jemputan khas.

    Di majlis berkenaan, wakil Babakimpo Sdn Bhd, Dayang Siti Syazwana binti Haji Mohd Zulkifli dalam kata alu-aluannya menjelaskan bahawa Babakimpo ditubuhkan di Brunei pada 15 Februari 2017 dengan hasrat bagi menawarkan platform e-perdagangan untuk transaksi pembelian untuk para peniaga dan pelanggan mereka.

    Dayang Siti Syazwana menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Babakimpo.com di Pusat Membeli-belah Times Square, Berakas.
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Mustappa (tiga kiri), Dato Sri Lau Kung Ching (dua kiri), Awangku Zaini (empat kiri), Zaiyunah (tiga kanan) dan Jackson Ting (dua kanan) bersama memotong reben bagi menyempurnakan perasmian Babakimpo.com di Pusat Membeli-belah Times Square, Berakas.
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Mustappa menyaksikan pameran dan berinteraksi dengan para usahawan yang menggunakan platform Babakimpo.com.
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Mustappa, Dato Sri Lau Kung Ching, Awangku Zaini, Zaiyunah dan Jackson Ting bergambar ramai dengan pegawai dan kakitangan Babakimpo Sdn Bhd.

    Sejak itu, jelasnya, peranan Babakimpo telah berkembang untuk menawarkan pelbagai perkhidmatan termasuk khidmat konsultan pemasaran, analisis jualan, fotografi dan perkhidmatan video.

    Di samping itu, sebagai usaha untuk menyumbang kepada Wawasan 2035, Babakimpo juga membuka pintunya serta mengalu-alukan penyertaan peserta program i-Ready dengan menyediakan latihan yang bersesuaian supaya mereka boleh mempelajari dan menyertai dalam pengalaman kerja dalam iklim e-perniagaan komersial.

    Dayang Siti Syazwana berkata lagi, dengan peranan Babakimpo sebagai platform perdagangan dalam talian, ia juga mampu untuk memudahkan lagi usaha dalam mempelbagaikan ekonomi negara di mana ia boleh menjadi platform perdagangan dalam talian bukan sahaja bagi pembeli tempatan tetapi juga pembeli serantau.

    Dengan perubahan dan perkembangan teknologi pada masa ini, ulasnya lagi, ia memudahkan mereka untuk berinteraksi, berhubungan serta menyebarkan maklumat supaya dapat menyediakan pengalaman membeli-belah dalam talian yang terbaik.

    Majlis diteruskan dengan perasmian Babakimpo.com yang disempurnakan bersama oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Mustappa, Dato Sri Lau Kung Ching, Awangku Zaini, Zaitunah dan Jackson Ting.

    Bersempena dengan perasmian platform perdagangan dalam talian itu, Babakimpo Sdn Bhd turut mengadakan acara istimewa selama dua hari hingga hari ini di Pusat Membeli-Belah Times Square di mana pelbagai aktiviti diadakan sesuai untuk seisi keluarga, cabutan bertuah dan aktiviti mewarna di mana para pengunjung berpeluang memenangi hadiah-hadiah menarik.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda