Oleh AK Zaki Kasharan
Lebih 100 orang peminat astronomi tanah air telah berkumpul untuk melihat ke langit dan memerhati bulan sempena Malam Memerhati Bulan Sedunia (InOMN), baru-baru ini.
Acara berkenaan merupakan aktiviti mendekatkan masyarakat yang diadakan setiap tahun untuk menggalakkan pemerhatian, penghayatan dan pemahaman bulan di seluruh dunia.
Ia juga bertujuan untuk menyediakan platform pertemuan bagi interaksi dalam kalangan ahli-ahli astronomi amatur, pendidik dan peminat bulan serta orang ramai di negara dan juga seluruh dunia.
InOMN telah disambut sejak 2010 dan hanya pada tahun ini, Negara Brunei Darussalam pertama kali menyertai dunia dengan menganjurkan cerapan di Warisan Puk Balaban, Tutong.
Acara malam itu dianjurkan bersama oleh Persatuan Astronomi Brunei Darussalam (PABD) dan pengurusan Warisan Puk Balaban.


Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Naib Presiden PABD, Haji Abdul Aziz bin Haji Akop yang juga berkesempatan untuk merasmikan acara malam itu.
Aktiviti bermula dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang diketuai oleh Bendahari Agung PABD, Awang Shaifulbahri bin Haji Ahmad.
Beberapa buah teleskop dan binokular telah disediakan oleh PABD bagi para peserta mencerap Bulan, planet dan objek samawi lain sepanjang malam.
Para peserta InOMN juga berpeluang melihat landskap pergunungan dan rekahan kawah di sepanjang garisan antara kawasan cahaya dan gelap di bulan. Ia merupakan pengalaman yang menarik untuk melihat keajaiban dunia lain bersebelahan dengan bumi ini yang sangat berbeza.
Terdapat juga aktiviti yang menarik dianjurkan seperti eksperimen Kawah-Mini, sentuh topografi bulan, pertandingan seni kreatif untuk kanak-kanak, serta kuiz astronomi.
Ahli-ahli PABD berperanan sebagai pemudah cara bagi memberi panduan dan penerangan kepada peserta yang hadir tentang sains dan penerokaan bulan, dan juga berkongsi tentang pengalaman budaya masyarakat di negara ini yang telah dipengaruhi oleh bulan seperti aktiviti penglihatan bulan baharu dalam menentukan permulaan awal Hijrah.
Terdapat lebih 1,800 acara pencerapan bulan turut berlangsung pada malam tersebut bersempena InOMN yang telah dianjurkan oleh pelbagai organisasi secara dalam talian dan fizikal di seluruh dunia.
Hari InOMN diadakan setiap tahun pada September atau Oktober, iaitu ketika fasa bulan dalam sekitar suku pertama yang merupakan fasa terbaik untuk memerhatikan landskap dan beberapa bentuk di permukaan bulan.
Tarikh sambutan yang akan datang jatuh pada 16 Oktober 2021 dan 1 Oktober 2022.