BERN, 31 OGOS – Bekas ketua bola sepak Eropah, Michel Platini tiba untuk menghadiri perjumpaan dengan pihak pendakwa raya awam Switzerland hari ini sebagai sebahagian daripada prosiding siasatan pembayaran bernilai dua juta Swiss franc yang diterimanya pada 2011.
Platini telah dipanggil ke bandar Switzerland, Bern oleh pendakwa raya, Thomas Hildbrand. Sepp Blatter, bekas presiden badan pengurusan sukan, FIFA bakal bertemu dengan pendakwa raya esok (1 September) atas pertuduhan yang sama.
Platini, bekas ketua badan pengurusan bola sepak Eropah, UEFA, tiba di Pejabat Peguam Negara Switzerland (OAG) dengan menaiki sebuah teksi dan ditemani oleh peguamnya, Dominic Nellen.
Mengenakan sut dan baju biru tanpa tali leher dan membawa fail berwarna biru, dia menyapa jurnalis yang menunggu dan senyum ketika dia memasuki pejabat pendaftaran.
Dia kemudiannya keluar sebentar untuk memasuki ruang utama premis melalui pagar besi.
Platini dan Blatter akan berdepan dengan soal siasat dari pendakwa raya awam sebagai sebahagian daripada prosiding, yang mana telah dibuka pada 2015.
Pada Jun lalu, Hildbrand secara rasminya memasukan Platini ke dalam siasatan atas pembayaran yang diterimanya dari FIFA pada 2011 atas tugas sebagai penasihat yang telah selesai pada 2002, kerana disyaki ‘terlibat dalam pengurusan yang tidak adil, penggelapan dan pemalsuan dalam sekuriti’. – AFP
