Monday, February 24, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Platycerium Coronarium tumbuhan gantung unik dan cantik

    SALAH satu spesies tumbuhan liar daripada jenis paku-pakis adalah Platycerium Coronarium yang turut dikenali sebagai spesies Platycerium Bifurcatum dan Platycerium Biforme.

    Pokok yang tergolong dalam keluarga tumbuhan Polypodiaceae ini juga popular dikenali sebagai Crown Staghorn. Ia adalah sejenis pokok yang sangat popular pada zaman dahulu lagi (old time favourite) dan kembali popular dalam kalangan peminat seni taman ketika ini.

    Ia merupakan pokok paku-pakis daripada jenis ‘epiphyte’ iaitu hidup menumpang di atas pokok lain dengan akarnya melekat kuat pada kulit ranting atau batang kayu yang kasar.

    Selain sebagai tumbuhan liar di negara kita ia juga tumbuh meliar di beberapa buah negara tropika yang lain seperti Indochina dan Singapura.

    Ia ditanam kerana pameran dua jenis daun atau ‘Frond’ yang berbeza bentuknya.

    Platycerium Coronarium merupakan pokok paku-pakis daripada jenis ‘epiphyte’ yang hidup menumpang di atas pokok lain dengan akarnya melekat kuat pada kulit ranting atau batang kayu yang kasar.
    Platycerium Coronarium hanya sesuai untuk ditanam sebagai pokok gantung secara solo.

    Frond steril atau tidak subur merupakan daun besar yang melekat kepada kulit kayu dan mengumpul bahan organik dan air hujan yang menitis melalui batang atau ranting tempat ianya melekat.

    Cara inilah pokok ini mendapat air dan bahan organik yang pertumbuhan di alam semula jadinya. Manakala Frond (pelepah) subur pula berwarna hijau kekelabuan membentuk seperti tanduk seekor rusa. Sebab itulah ia mendapat nama jolokannya paku tanduk rusa atau Staghorn Fern.

    Ia tumbuh panjang dan berjuntai ke bawah apabila pokok ini bergantung.

    Pelepah yang telah matang akan mengeluarkan spora untuk pembiakan seterusnya.

    Ia juga boleh dibiakkan menggunakan kaedah belahan rumpun pelepah sterilnya.

    Langkah penanaman

    Mulakan langkah penanaman dengan meletakkan lumut Sphagnum Moss pada batang pokok atau sabut kelapa.

    Kemudian letakkan bahan organik dan tutup dengan jaring supaya bahan tidak mudah keluar. Lekapkan pelepah tidak subur di atas bahan tadi. Ikat pelepah supaya melekat pada batang atau sabut tadi.

    Sabut kelapa dan lumut Sphagnum Moss adalah medium yang sesuai untuk tanaman pokok ini. Gunakan juga bahan organik yang dicampurkan dengan serbuk sabut kelapa.

    Penjagaan

    Pokok paku ini memerlukan pendedahan kepada banyak cahaya matahari tetapi sedikit terlindung daripada cahaya terik seperti di alam semula jadinya.

    Biarkan medium tanamannya kering dahulu sebelum menyiramnya semula. Ia menyukai kelembapan oleh itu sembur ‘Frond’ dengan air terutama pada hari panas. Baja organik paling sesuai untuk pokok ini.

    Idea pameran

    Ia hanya sesuai untuk ditanam sebagai pokok gantung secara solo dan membiarkan ‘Frond’nya berjuntai ke bawah.

    Oleh itu ia memang sesuai untuk dipamerkan di ruang sempit seperti balkoni apartmen atau kondominium dan sebagainya.

    Beli sahaja pokok yang telah siap ditanam pada batang kayu dan anda tidak perlu risau mengenai kaedah menanamnya dan hanya perlu menjaganya sebagaimana yang telah diterangkan di atas. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda