Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 MEI – Play True Day merupakan salah satu inisiatif Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) untuk menyatukan komuniti sukan dalam usaha mendorong keadilan dan integriti.
Acara tersebut dihasratkan untuk menentang doping serta menegakkan etika sukan yang mengutamakan nilai kesaksamaan dan kejujuran di atas segala-galanya, tekan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Anti-Doping Brunei Darussalam (BDADC), Awang Sukardi bin Kaderi dalam kata alu-aluannya di Majlis Perasmian Play True Day 2025 yang berlangsung di Hab Sukan, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, hari ini.
Hadir bagi menyempurnakan perasmian berkenaan ialah Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan selaku Yang Menjalankan Tugas Setiausaha Tetap (Kesukanan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).
Turut hadir pada majlis berkenaan, Pengarah Pembangunan Belia dan Sukan KKBS, Dayang Zainab bin Haji Morsidi, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan, Hajah Umi Kalthum binti Haji Abdul Karim, pegawai-pegawai kanan di Jabatan Belia dan Sukan serta jemputan khas daripada agensi kerajaan dan wakil daripada persatuan dan persekutuan sukan.
Awang Sukardi turut mengatakan Play True Day telah berkembang daripada inisiatif kecil kepada satu gerakan global yang merangkumi warga sukan di seluruh dunia, di samping memberi tumpuan kepada aspek pendidikan serta pemerkasaan komuniti agar setiap individu sedar mereka mempunyai peranan dalam memastikan sukan kekal bersih dan adil.
Majlis menyaksikan Pengiran Haji Mohd Hasnan menyempurnakan perasmian Play True Day 2025 dan seterusnya menyertai permainan melalui aktiviti pendidikan anti-doping.
Play True Day disambut setiap April dengan misi yang ringkas tetapi bermakna untuk mempromosikan sukan bersih dan menggalakkan para atlet, jurulatih, komuniti yang berkepentingan serta organisasi sukan di seluruh dunia untuk komited kepada semangat kesukanan, kejujuran dan saling menghormati dalam sukan.