Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OKT – Seramai 120 orang telah menyertai Kejohanan Badminton Irau Tupeh Padey Tahun 2025 anjuran Persatuan Lun Bawang Murut Brunei (PLBMB) yang diadakan di Pusat Belia, baru-baru ini.
Hadir menyampaikan hadiah kepada pemenang lelaki dan perempuan, Timbalan Yang Di-Pertua Persatuan Lun Bawang Murut Brunei, Dayang Mariam binti Ulat, dan Yang Di-Pertua Persatuan Lun Bawang Murut Brunei, Lt. Kol (B) Tamin bin Tuah.
Kejohanan itu telah menyaksikan Faith Siran & Natalleeya Matius, johan dalam kategori Beregu Perempuan Bawah 15 Tahun, sementara Dayang Ayesha Apoi yang berpasangan dengan Dayang Nurul Abdullah Balang diumumkan johan dalam kategori Beregu Wanita Veteran, dan johan kategori Beregu Wanita Terbuka, Dayang Maryanne Yangkai dan Dayang Christina Angellia Dollah.
Sementara johan bagi kategori Beregu Lelaki Bawah 15 Tahun, Noah Ting berpasangan dengan Haziq Yohanes, bagi kategori Beregu Lelaki Veteran, johan ialah Jeffery Ting dan Japari Berauk, manakala johan kategori Beregu Lelaki Terbuka, Supian Sabtu yang berpasangan dengan Yohanes Sumbat
Kejohanan Badminton Irau Tupeh Padey 2025 ini bukan sahaja menjadi wadah bagi memupuk semangat kesukanan dan kerjasama sesama masyarakat Lun Bawang di Negara ini, tetapi juga sebagai platform bagi mencungkil bakat baharu dalam arena badminton tempatan.


