MIAMI, 29 Mac – Simona Halep terlepas peluang untuk kembali menjadi pemain nombor satu dunia apabila Karolina Pliskova menghasilkan permainan luar biasa untuk mara ke final Terbuka Miami dengan kemenangan 7-5, 6-1.
Bintang Romania, Halep, boleh sahaja merampas semula takhta teratas tenis wanita sekiranya di mara ke final selepas pemain nombor satu ketika ini, Naomi Osaka tersingkir awal dan Petra Kvitova tewas kepada Ashleigh Barty dalam suku akhir.
Tetapi Pliskova, pemain nombor tujuh dunia, mempunyai idea lain, menghasilkan persembahan luar biasa menundukkan Halep dan menempah perlawanan akhir menentang Barty, yang menang 6-3, 6-3 ke atas Anett Kontaveit.
“Ia bukan mudah untuk menunggu terlalu lama tetapi saya mampu mengekalkan agresif,” kata Pliskova. “Ashleigh adalah pemain yang bagus, tetapi saya teruja ke final.”
Cuaca di South Florida menjejaskan permainan yang dijadualkan semalam di Stadium Hard Rock, di mana hujan turun lagi semasa Pliskova dalam laluan kemenangan.
Permainan pada mulanya dihentikan sementara pada mata 3-3 di set pertama.
Apabila ia diteruskan, Halep mendahului 5-3 sebelum Pliskova bangkit, memenangi set pertama dan mendahului 5-0 pada set kedua sebelum hujan sekali lagi membasahi gelanggang.
Selepas perlawanan disambung, Pliskova menamatkan harapan Halep untuk merampas kedudukan pertama ranking dunia dengan kemenangan dominan. – AFP
