WASHINGTON, 30 April – Pihak berkuasa telah menahan seorang bekas anggota infantri Tentera Amerika Syarikat (AS) yang disyaki cuba melancarkan serangan bom di sebuah perhimpunan di negeri California, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan para penyiasat pada Isnin.
Mark Steven Domingo, 26, yang ditahan pada Jumaat ketika dia pergi ke sebuah taman di Long Beach untuk meninjau tapak perhimpunan yang dirancang diadakan minggu lepas, menurut kenyataan Jabatan Kehakiman.
Jabatan berkenaan berkata sebelum itu, beliau telah bertanya kepada seseorang yang disangka rakan subahatnya namun sebenarnya adalah seorang pemberi maklumat FBI, untuk mencari pembuat bom bagi membina bom buatan sendiri.
Domingo didakwa membeli beberapa ratus paku minggu lepas, yang akan digunakan sebagai peluru dalam bom itu, dan menyerahkannya kepada pemberi maklumat terbabit.
“Domingo berkata beliau secara khusus membeli paku berukuran tiga inci kerana ia adalah cukup panjang untuk menembusi tubuh manusia dan merosakkan organ dalaman,” menurut kenyataan itu.
Beliau telah mengambil beberapa peledak tidak aktif, yang dipercayai adalah bagi senjata pemusnah besar-besaran, daripada sumber FBI pada Jumaat lepas dan telah ditahan di tapak perhimpunan pada petang itu.
“Siasatan ini berjaya melumpuhkan satu ancaman nyata yang ditimbulkan oleh seorang tentera kombat terlatih yang berulang kali menyatakan bahawa beliau ingin menyebabkan jumlah kematian paling maksimum,” menurut Peguam Negara AS Nick Hanna dalam satu kenyataan. Sebelum memilih perhimpunan Long Beach, Domingo memikir-mikirkan untuk menyerang orang Yahudi, gereja dan anggota polis, menurut Jabatan Kehakiman. – Bernama