Saturday, December 28, 2024
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    PM Anwar adakan pertemuan dengan Thaksin, bincang isu kritikal serantau

    KUALA LUMPUR, 27 DIS – Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan bekas Perdana Menteri Thailand, Dr Thaksin Shinawatra semalam bagi membincangkan beberapa isu kritikal serantau, termasuk merintis usaha damai di Selatan Thailand dan merungkai krisis di Myanmar.

    Anwar berkata pertemuan dengan sahabat baiknya itu turut membabitkan perbincangan panjang lebar mengenai beberapa perkara penting, termasuk peranan Thaksin selaku penasihat tidak rasmi kepada Pengerusi ASEAN.

    “Kepakaran dan jaringan perhubungan meluas yang dimilikinya di rantau ini, membolehkan beliau (Thaksin) memainkan peranan dan membuka peluang-peluang penting buat Malaysia dan ASEAN bagi berdepan cabaran-cabaran ini dengan penuh yakin dan berkesan,” katanya dalam hantaran di laman Facebook.

    Perdana Menteri berkata mereka turut bertukar pandangan mengenai usaha memperkukuh hubungan persahabatan Malaysia-Thailand, selaras dengan visi dan persefahaman seperti mana dikongsikannya bersama Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra, baru-baru ini.

    “Kami berkongsi kepercayaan yang sama sejak puluhan tahun lalu, bahawa Malaysia dan Thailand berupaya mencipta pelbagai kejayaan bersama untuk kedua-dua negara dan rantau ini. Insya-Allah, saya dan Thaksin komited untuk merealisasikan hasrat ini,” katanya. – Bernama

    Anwar semasa menjawab pelbagai soalan berkaitan kerajaan dan isu semasa dalam sidang media yang diadakan di Subang Jaya pada 21 Disember. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda