Khamis, November 20, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    PM Anwar akan promosi EV Perodua di Sidang Kemuncak G20

    RAWANG, 11 NOV – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mempromosikan model kenderaan elektrik (EV) Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) ketika menghadiri Sidang Kemuncak G20 di Afrika Selatan pada minggu depan.

    Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata beliau akan mengambil peluang untuk mempromosikan Perodua keluaran EV itu ketika lawatan kerja ke negara berkenaan.

    “Saya akan menjadi pegawai pemasaran Perodua yang utama, mempromosikan EV tersebut ke Afrika Selatan,” katanya secara berseloroh ketika berucap pada program lawatan dan ramah mesra bersama warga kerja Perodua, hari ini.

    Semasa rangka lawatan itu, Anwar turut dijadualkan membuat kunjungan rasmi ke Etiopia dan Kenya.

    “Pasaran tempatan akan menjadi keutamaan bagi EV ini, namun pada masa yang sama kita mahu tembusi pasaran luar negara,” kata beliau.

    Anwar berkata Brazil dijangka memberikan akses mudah kepada kemasukan produk keluaran Malaysia termasuk kenderaan EV Perodua ke negara itu.

    Menurut beliau, perkara tersebut dimaklumkan sendiri oleh Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva semasa pertemuan mereka di Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan pada akhir bulan lepas. – Bernama

    Datuk Seri Anwar Ibrahim melihat model Perodua Bezza ke-5.5 juta semasa lawatan dan ramah mesra bersama warga kerja Perodua, kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda