KUALA LUMPUR, 14 APRIL – Perdana Menteri Malaysia merangkap Pengerusi ASEAN, Anwar Ibrahim berkata hari ini bahawa beliau akan bertemu dengan ketua junta Myanmar semasa satu lawatan ke Bangkok minggu ini, ketika pemimpin negara itu membuat perjalanan luar negara yang jarang berlaku bagi membincangkan usaha bantuan gempa bumi.
Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) telah melarang pegawai junta daripada menghadiri sidang kemuncak sejak rampasan kuasa 2021 yang menggulingkan pemimpin awam, Aung San Suu Kyi dan mencetuskan perang saudara yang berpanjangan di Myanmar.
Namun Anwar – yang kini memegang jawatan pengerusi bergilir ASEAN – berkata beliau akan bertemu dengan Min Aung Hlaing pada Khamis ini bagi membincangkan keselamatan petugas bantuan Malaysia yang dihantar untuk membantu mangsa gempa bumi bulan lalu.
Menurut angka rasmi, lebih 3,600 orang terkorban dalam bencana pada 28 Mac, yang memusnahkan lebih 5,000 bangunan dan meninggalkan lebih dua juta penduduk dalam keperluan mendesak, kata Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Junta Myanmar telah mengumumkan gencatan senjata susulan gempa bumi bermagnitud 7.7 itu. Walaupun pemantau melaporkan pertempuran masih berterusan, Anwar berkata beliau akan merayu agar gencatan senjata tersebut dilanjutkan melepasi tarikh akhir pada 22 April.
“Insya-Allah dalam perbincangan saya pada 17 April nanti, saya akan minta supaya ia dilanjutkan,” kata Anwar dalam satu perhimpunan bersama Kementerian Kewangan yang turut diterajuinya.
“Kami telah menghantar pasukan penyelamat ke sana, jadi kami mahu pastikan keselamatan mereka,” jelas beliau, sambil menambah tujuan utama pertemuan itu adalah untuk memudahkan penghantaran bantuan kemanusiaan berikutan bencana gempa bumi yang teruk. – AFP
