Friday, February 7, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    PM Anwar bentang Belanjawan 2023 dukung pertumbuhan ekonomi

    KUALA LUMPUR, 24 FEB – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2023 dengan cadangan peruntukan RM388.1 bilion sebagai usaha mendukung pertumbuhan ekonomi supaya limpahannya dapat dinikmati semua rakyat.

    Menghuraikan fakta dan cabaran sebenar yang membelit negara dan ekonomi, Anwar yang juga Menteri Kewangan mencadangkan Belanjawan 2023 yang mengambil pendekatan dasar pengembangan antaranya bagi mendepani tantangan semasa termasuk cabaran ekonomi global yang tidak menentu.

    “Belanjawan MADANI ini ialah cerminan prinsip pertanggungjawaban dan sistem nilai yang luhur yang mampu mendepani tantangan semasa termasuk tantangan ekonomi global yang sarat dengan ketidaktentuan,” kata beliau semasa membentangkan Rang Undang-undang Perbekalan (2023) di Dewan Rakyat di sini hari ini.

    Belanjawan 2023 itu akan menumpukan kepada 12 ikhtiar utama serta berlandaskan tiga tekad iaitu pemacuan ekonomi yang terangkum dan mampan, reformasi institusi dan tatakelola bagi memulihkan keyakinan dan keadilan sosial untuk menyederhana kesenjangan.

    Anwar menyenaraikan 12 ikhtiar yang akan diambil Kerajaan Perpaduan bagi melaksanakan Belanjawan 2023 yang meliputi kemampanan fiskal, memenuhi keperluan ekonomi rakyat, mendepani musibah bencana, meraih pelaburan berimpak tinggi dan pembaharuan sektor awam.

    Selain itu, ia melibatkan memperkasa kerjasama awam-swasta, mengutama agenda digital, memperkukuh peranan agensi dan syarikat kerajaan, menoktah miskin tegar,
    meminimum beban sara hidup, menjamin keharmonian dan perpaduan serta menyediakan keperluan asas berkualiti.

    Mengenai peruntukan pembangunan sebanyak RM97 bilion dalam belanjawan yang bertemakan Membangun Malaysia MADANI, Anwar berkata ia untuk menumpukan program membasmi kemiskinan, baik pulih prasarana awam selain kemudahan desa.

    Anwar berkata kerajaan akan mengambil pendekatan yang progresif dalam konteks subsidi bersasar atau struktur percukaian bagi melindungi golongan kurang bernasib baik dan mengharapkan golongan lebih kaya menggalas tanggungjawab secara bersama.

    Kerajaan juga belum bercadang melaksanakan cukai kepenggunaan berasas luas seperti Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), kata beliau. – Bernama

    Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023 Malaysia MADANI di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda