KUALA LUMPUR, 1 JAN – Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka melancarkan Pangkalan Data Utama (PADU), iaitu sistem yang mengandungi profil individu dan isi rumah meliputi warganegara dan pemastautin tetap di Malaysia, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), esok.
Majlis yang bermula 8:30 pagi hingga 2 petang itu, melibatkan pembentangan mengenai PADU oleh Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dan forum bertajuk ‘Memacu Peralihan Melalui PADU’, sebelum Anwar dijadual merasmikan sistem berkenaan pada 12.15 tengah hari.
Kementerian Ekonomi dalam laman Facebook memaklumkan, sistem PADU akan dibuka secara rasmi kepada seluruh rakyat Malaysia usai majlis pelancaran berkenaan.
Objektif PADU ialah sebagai penyediaan pangkalan data utama negara yang selamat, komprehensif dan hampir masa sebenar, yang membolehkan analitik data lebih tepat dihasilkan serta penggubalan dasar dan proses membuat keputusan berpacukan data, selain membolehkan pelaksanaan dasar secara bersasar bagi mengimbangi kedudukan fiskal.
Maklumat profil akan diperoleh melalui pengintegrasian data pentadbiran daripada pelbagai sumber dan sebahagiannya akan dikemas kini oleh individu.
Pelaksanaan PADU adalah bagi meningkatkan kecekapan pengurusan yang memudahkan pengumpulan, penyimpanan dan pengurusan data daripada pelbagai sumber. – Bernama
