KOTA KINABALU, 9 NOV – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim komited membangunkan Sabah melalui pelaksanaan projek infrastruktur utama bagi menangani isu ‘AJK’, iaitu air, jalan dan ‘karan’ (bekalan elektrik) di negeri itu.
Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, berkata komitmen itu terbukti melalui usaha berterusan sejak awal pentadbiran Anwar, terutamanya melalui pembangunan Empangan Hidroelektrik Ulu Padas dan Lebuh Raya Pan Borneo.
“Kita semua sedia maklum mengenai isu AJK, tetapi Perdana Menteri bersama kerajaan negeri menumpukan perhatian untuk melaksanakan projek infrastruktur demi manfaat rakyat.
“Sejak mula-mula beliau menjadi Perdana Menteri, sebelum pilihan raya Sabah pun, beliau telah turun ke negeri ini bagi memastikan penyelesaian dan akhirnya menyelesaikan isu infrastruktur terutama ’AJK’,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata Anwar turun ke Sabah pada Disember 2023, kira-kira setahun selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, untuk merasmikan Empangan Hidroelektrik Ulu Padas di kawasan pedalaman Tenom, bagi memastikan isu berkaitan elektrik dan air diselesaikan secara tuntas.

“Projek ini bukan sahaja menunjukkan komitmen kerajaan Persekutuan terhadap pembangunan Sabah, malah membuktikan kerajaan sentiasa mengutamakan keperluan asas rakyat tanpa mengira lokasi sama ada di bandar atau luar bandar,” katanya.
Empangan yang dijangka siap pada 2029 itu bakal menjana tenaga elektrik 187.5 megawatt (MW) meningkatkan grid bekalan tenaga Sabah sebanyak 15 peratus, selain berpotensi membekalkan 6,000 juta liter air sehari.
Shamsul Iskandar berkata Perdana Menteri turut mengambil langkah tegas memastikan projek Lebuh Raya Pan Borneo dilaksanakan dengan segera, walaupun kepimpinan kerajaan negeri terdahulu menangguhkan pelaksanaannya.
“Perdana Menteri bersama kerajaan Sabah menumpukan perhatian untuk melaksanakan projek Lebuh Raya Pan Borneo ini,” katanya, menyifatkannya sebagai nadi pembangunan yang menyambungkan komuniti, membuka peluang pekerjaan dan meningkatkan taraf hidup rakyat Sabah.
Beliau berkata projek Lebuh Raya Pan Borneo yang melibatkan pembinaan jalan sepanjang 706 kilometer di Sabah dalam Fasa 1 memberi impak besar kepada ekonomi negeri itu, terutamanya dalam memudahkan pergerakan barang dan perkhidmatan antara kawasan bandar dan luar bandar. – Bernama

