BANGKOK, 17 APRIL – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Bangkok hari ini untuk lawatan kerja dua hari ke Thailand.
Pesawat khas yang membawa Perdana Menteri mendarat di Terminal 2 Tentera Udara Diraja Thai dekat Don Mueang pada 1:20 tengah hari.
Timbalan Perdana Menteri Thailand Suriya Juangroongruangkit dan Kuasa Usaha ad interim Kedutaan Malaysia di Thailand Bong Yik Jui, berada di terminal untuk menyambut Perdana Menteri dan delegasi Malaysia.
Mengiringi Perdana Menteri ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin dan perwakilan khas ASEAN ke Myanmar Tan Sri Othman Hashim.
Wisma Putra dalam kenyataan sebelum ini berkata sebaik tiba Anwar dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatannya Paetongtarn Shinawatra di Government House.
Wisma Putra berkata Anwar dan Paetongtarn dijangka mengadakan perbincangan susulan kepada hasil Perundingan Tahunan (AC) ke-7 Malaysia-Thailand, yang diadakan pada 16 Disember lepas di Putrajaya.
“Kedua-dua pemimpin juga akan membincangkan isu hubungan dua hala dan meneroka lebih lanjut bidang kerjasama yang berpotensi antara kedua-dua negara jiran rapat, serta membincangkan isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama,” kata Wisma Putra.
Selepas Mesyuarat Dua Hala, Anwar dan Paetongtarn akan menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Perjanjian Pembinaan (CA) bagi Projek Jambatan Rantau Panjang – Sungai Kolok yang akan ditandatangani oleh Nanta dan rakan sejawatannya Suriya Juangroongruangkit.
Perdana Menteri juga dijadual bertemu dengan Kumpulan Penasihat Tidak Rasmi kepada Pengerusi ASEAN dan mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua industri di Thailand.
“Lawatan ini merupakan kesinambungan pertukaran lawatan di peringkat pemimpin tahun lepas, di samping perbualan telefon antara Perdana Menteri dan Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra pada 6 Mac lepas,” kata Wisma Putra.
Penglibatan ini mencerminkan persahabatan dan kerjasama erat yang terjalin antara Malaysia dan Thailand sebagai negara jiran dan aanggota pengasas ASEAN.
Pada 2024 Thailand merupakan rakan dagangan ketujuh terbesar Malaysia di dunia dan ketiga terbesar dalam ASEAN, dengan jumlah perdagangan berjumlah AS$25.03 bilion (RM114.56 bilion). – Bernama
