JAKARTA, 6 JUN – Perdana menteri baharu Australia dan presiden Indonesia bersama-sama mengayuh basikal buluh hari ini semasa mereka mengadakan pertemuan untuk merangsang hubungan, ketika Canberra memulakan usaha diplomatik untuk melawan pengaruh meningkat China di rantau ini.
Anthony Albanese memuji hubu-ngan dengan Indonesia dan berikrar untuk mengukuhkannya dalam lawatan dua hala pertamanya sejak dilantik bulan lalu, memilih ekonomi terbesar Asia Tenggara itu sebagai perhentian awal dalam apa yang telah menjadi tradisi bagi perdana menteri baharu Australia.
Selepas kawalan kehormatan, Presiden Joko Widodo memberikan sebuah basikal kepada Albanese di istana presiden di Bogor, sebuah bandar di selatan Jakarta, di mana mereka menanggalkan jaket, memakai helmet dan menunggang basikal di kawasan sekitar.
“Hubungan Australia dengan Indonesia adalah salah satu yang paling penting bagi kami. Kita berhubung bukan sahaja dari segi geografi, kita berhubung dengan pilihan,” Albanese berkata dalam satu sidang media bersama selepas beberapa pertemuan.
“Hubungan kita dikukuhkan lagi dengan kepentingan strategik dan ekonomi yang dikongsi,” tambahnya, berkata Indonesia dalam laluan untuk menjadi salah satu daripada lima ekonomi terbesar di dunia.
Widodo berkata, hubungan baik antara kedua-dua negara akan kepada “keamanan dan kemakmuran rantau ini”.
Albanese megesahkan bahawa beliau akan menghadiri sidang kemuncak G20, yang bakal dihoskan oleh Indonesia pada November, di sebalik keraguan-keraguan daripada mantannya, Scott Morrison mengenai duduk semeja dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin selepas serangannya ke atas Ukraine. – AFP
