JAKARTA, 7 MEI – Perdana Menteri Australia yang baru dipilih semula, Anthony Albanese, hari ini mengumumkan bahawa dia akan melawat Indonesia minggu hadapan bagi menegaskan kepentingan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
Albanese berkata dia akan bertemu dengan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, pada 14 Mei, sehari selepas kabinet baharunya mengangkat sumpah.
“Itu adalah isyarat kepada rantau ini tentang betapa pentingnya wilayah ini kepada kami. Kita berada di rantau yang berkembang paling pesat dalam sejarah manusia,” kata Albanese dalam temu bual bersama Australian Broadcasting Corporation (ABC).
Dia menyifatkan Subianto sebagai “rakan baik saya secara peribadi dan juga dari segi hubungan erat antara kedua-dua negara.”
“Kita tiada hubungan yang lebih penting daripada Indonesia. Kita mempunyai hubungan ekonomi yang signifikan dengan mereka. Indonesia akan berkembang menjadi ekonomi keempat terbesar di dunia. Kita juga mempunyai hubungan pertahanan dan keselamatan yang penting bersama mereka,” kata Albanese.
Parti Buruh pimpinan Albanese yang berhaluan kiri-tengah memenangi penggal kedua selama tiga tahun dalam pilihan raya yang berlangsung pada Sabtu lalu.
Lazimnya, perdana menteri Australia yang baharu dipilih akan menjadikan negara di Asia, khususnya Indonesia, sebagai destinasi pertama dalam lawatan rasmi luar negara.
Namun, pencabar Albanese dalam pilihan raya, Peter Dutton, yang merupakan pemimpin pembangkang konservatif, pernah mencadangkan untuk mengetepikan tradisi tersebut dengan merancang menjadikan Amerika Syarikat sebagai destinasi pertama sekiranya menang, bagi mendapatkan perjanjian tarif yang lebih baik dengan Presiden Donald Trump.
Mengukuhkan hubungan dua hala Australia dengan Indonesia amat penting, menurut Natalie Sambhi, pakar dasar daripada institusi pendidikan Asia Society Australia yang berpangkalan di Sydney. – AP
