CANBERRA, 2 MAC – Perdana Menteri Australia, Scott Morrison berkata dia telah diuji positif COVID-19 namun akan tetap meneruskan tugasan rasmi ketika dalam pengasingan diri.
“Saya mengalami gejala selesema dan menjalani pemulihan sehingga minggu hadapan,” kata Morrison dalam kenyataan.
Dia juga berkata bahawa dia akan meneruskan tugasan sebagai perdana menteri, menumpukan tindak balas kerajaan terhadap peperangan di Ukraine dan banjir teruk di pantai timur Australia. Dia menjalani pengasingan diri di kediaman rasmi di Sydney selepas diuji positif kelmarin.
Menteri kanan yang bekerja rapat dengan perdana menteri hari ini berkata dia turut dijangkiti COVID-19.
“Saya tidak mengalami sebarang gejala ketara, hanya sakit kepala ringan,” kata Ben Morton, yang membantu perdana menteri dan kabinet, dalam kenyataan. Morton juga berkata dia akan meneruskan tugasan semasa dalam pengasingan di Canberra.
Morrison mengadakan sidang media bersama Menteri Pertahanan, Peter Dutton kelmarin di mana pihak kerajaan berjanji memperuntukkan AS$50 juta untuk peluru berpandu, peluru dan keperluan ketenteraan untuk Ukraine. – AP
