Friday, October 18, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    PM Australia: Keganasan rumah tangga ‘krisis negara’

    CANBERRA 29 APRIL – Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese menyifatkan keganasan rumah tangga sebagai ‘krisis negara’ selepas beribu-ribu orang berhimpun di seluruh negara menentang keganasan terhadap wanita hari ini.

    Beribu-ribu penunjuk perasaan menyertai protes yang diadakan di bandar-bandar sekitar Australia kelmarin untuk menarik perhatian kepada kematian 27 wanita setakat tahun ini yang didakwa berpunca daripada tindakan keganasan berasaskan jantina.

    Albanese turut berkata bahawa perhimpunan itu adalah seruan bertindak untuk semua peringkat kerajaan Australia supaya lebih banyak usaha dilakukan untuk mencegah keganasan berasaskan jantina ini.

    “Hakikat bahawa seorang wanita mati setiap empat hari secara purata di tangan pasangan sememangnya krisis negara,” tambahnya.

    Terdapat 17 perhimpunan diadakan di seluruh Australia pada hujung minggu, dengan kira-kira 15,000 orang mengadakan tunjuk perasaan di bandar Melbourne.

    Albanese berkata beliau atau pemimpin negeri dan wilayah Australia akan mengadakan mesyuarat pada Rabu untuk membincangkan tindakan bersepadu.

    Albanese, Menteri Wanita, Katy Gallagher dan Menteri Perkhidmatan Sosial, Amanda Rishworth menerima reaksi yang tidak menyenangkan apabila mereka menghadiri perhimpunan itu di Canberra kelmarin dengan laungan penunjuk perasaan, ‘Kami mahu tindakan’ dan ‘Jalankan tugas kamu.’

    Albanese berkata tumpuan perlu diberikan kepada pelaku dan pencegahan keganasan.

    “Kita perlu mengubah budaya, sikap dan sistem undang-undang,” kata Albanese pada perhimpunan itu.- AP

    Penunjuk perasaan berarak dan melaungkan slogan dalam protes terhadap keganasan berasaskan jantina di Melbourne, Australia kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda