SYDNEY, 4 MEI – Perdana Menteri Australia berhaluan kiri, Anthony Albanese meraikan kemenangan besar dalam pilihan raya dengan berjanji untuk mentadbir secara ‘berdisiplin dan teratur’ bagi menangani krisis kos sara hidup dan krisis tarif.
Penduduk bertepuk tangan ketika pemimpin berusia 62 tahun itu bersama tunangnya, Jodie Haydon, mengunjungi kafe yang sering jadi tumpuan, Cafe Italia, di kawasan Sydney, sambil dikerumuni jurugambar dan wartawan televisyen.
Parti Buruh pimpinan Albanese dijangka memenangi sekurang-kurangnya 82 kerusi daripada 150 kerusi Parlimen, menurut keputusan awal.
Gabungan konservatif Liberal-Nasional yang diketuai oleh ketua pembangkang, Peter Dutton, hanya memperoleh 36 kerusi, manakala parti-parti lain menguasai 12 kerusi. Sebanyak 20 lagi kerusi masih belum diputuskan.
“Kami akan menjadi sebuah kerajaan yang berdisiplin dan teratur pada penggal kedua kami,” kata Albanese selepas menyenduk ais krim untuk wartawan di sebuah kafe yang sering dikunjunginya bersama mendiang ibunya. – AFP
