SYDNEY, 15 JUN – Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese berkata beliau akan bertemu dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Sidang Kemuncak G7 minggu hadapan di Kanada, dengan perbincangan tertumpu kepada tarif perdagangan dan pakatan pertahanan yang sedang dikaji semula oleh Washington.
Sidang kemuncak G7 yang bermula hari ini di bandar pergunungan Kananaskis, Kanada, merupakan perhimpunan global utama pertama dalam penggal kedua Trump sebagai Presiden.
“Kami telah menjadualkan satu pertemuan,” kata Albanese kepada wartawan, sambil menyatakan bahawa beliau menjangkakan satu ‘perbincangan yang membina dan positif.’
“Kami akan membangkitkan isu tarif dan juga kepentingan AUKUS dan kami akan berbincang seperti dua sahabat sepatutnya berbincang,” katanya dari Seattle, ketika dalam perjalanan ke sidang G7.
Perjanjian AUKUS yang ditandatangani pada 2021 menyatukan Australia, United Kingdom dan AS dalam satu usaha berdekad-dekad lamanya untuk mengimbangi pengaruh ketenteraan China yang semakin meningkat.
Perjanjian itu bertujuan melengkapkan Australia dengan armada kapal selam berkuasa nuklear tercanggih dari AS, serta memperkukuh kerjasama dalam pembangunan pelbagai teknologi peperangan.
Pentadbiran Trump meletakkan perjanjian tersebut di bawah semakan semula minggu lalu, namun pegawai Australia menyifatkan tindakan itu sebagai ‘sesuatu yang lazim bagi mana-mana pentadbiran baharu.’ – AFP
