SYDNEY, 27 MAC – Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese berkata hari ini beliau akan mengadakan pilihan raya umum ‘tidak lama lagi’, dengan media tempatan melaporkan bahawa pilihan raya tersebut akan diadakan pada 3 Mei.
Penggal tiga tahun Parti Buruh berhaluan kiri pimpinan Albanese kini hampir tamat dan mesti mengadakan pilihan raya paling lewat pada 17 Mei.
Tinjauan terkini menunjukkan bahawa kerajaan kini bersaing sengit dengan pihak konservatif yang telah disingkirkan pada 2022 selepas hampir sedekad memerintah.
Ketika spekulasi semakin meningkat pada hari ini, Albanese berkata beliau sedang bersiap sedia untuk mengadakan pilihan raya ‘tidak lama lagi’.
“Ia akan diadakan secepat mungkin,” beritahunya kepada stesen radio tempatan.

Beberapa saluran media, termasuk penyiar nasional ABC, melaporkan Albanese akan mengumumkan permulaan rasmi kempen pada Jumaat, menetapkan tarikh pilihan raya pada 3 Mei.
Kerajaan yang berusia 62 tahun itu mengumumkan bajet tahunan mereka awal minggu ini, menarik undi dengan pemotongan cukai yang mengejutkan dan pelbagai tawaran lain.
Pemimpin konservatif, Peter Dutton, 54, telah mengkritik Albanese dan menuduh beliau sebagai pemimpin yang ‘lemah’ dan menyumbang kepada inflasi melalui perbelanjaan berlebihan kerajaan.
Dasar utama Dutton merupakan skim bernilai AS$200 bilion untuk membina tujuh reaktor nuklear berskala industri, yang menjejas perkembangan tenaga boleh diperbaharui.
Tinjauan menunjukkan kebimbangan ekonomi dan kos tinggi perumahan akan mendominasi kempen.
Walaupun inflasi telah menurun di bawah pimpinan Albanese, dari 7.8 peratus pada 2022 kepada 2.4 peratus pada Disember, namun ramai isi rumah masih berdepan dengan harga makanan, bahan api dan bil elektrik yang tinggi.
Bandar-bandar utama Sydney dan Melbourne kini berada di antara 10 pasaran perumahan yang paling tidak mampu dimiliki di dunia, menurut indeks kemampuan demografi secara tahunan. – AFP